image(15)

Tak perlu lagi ambil air bersih kampung lain

BACHOK – Masalah air bersih yang membelenggu penduduk sekitar Kampung Pantai Senak sejak lebih 45 tahun lalu akhirnya selesai apabila projek nyahgaram air laut yang dikelolakan universiti tempatan berjaya dilancarkan semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek penyelidikan di bawah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu bermula tahun lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan.

Beliau berkata, projek bernilai RM5 juta itu kini memberi manfaat kepada 3,000 penduduk setempat yang sebelum ini perlu mengambil air bersih di kampung lain.

“Projek ini diketuai Timbalan Naib Canselor UTM (penyelidikan dan inovasi), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail yang juga orang Kelantan.

“Loji air bersih ini mampu menghasilkan air bersih terawat dengan kapasiti 500,000 liter sehari. Sistem ini berupaya menapis dan merawat sumber air mentah dari laut sekitar kawasan Pantai Senak ini. Diharap ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat sekaligus membangunan sektor ekonomi di sini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan loji nyahgaram air laut di Pantai Senak hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain; Penyelaras Dun Tawang, Datuk Mohd Radzuan Abdullah; Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar; dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *