image(15)

Sejuk tekak dengan ais kepal viral

SANGGUP beratur demi menyejukkan tekak dengan ais kepal!

Keenakan ais kepal diletakkan serbuk minuman Milo yang dibancuh pekat dan ditabur dengan kacang tumbuk, Oreo, Nestum dan Coco Crunch, kini menjadi rebutan di kawasan Demit, Kubang Kerian.

Menariknya, cetusan idea meniaga ais kepal dinamakan ‘Ice Kepal Lagend’ tersebut bermula apabila adik-beradik termasuk kakak ipar mereka berniat melangsaikan cukai Allahyarham bapa, Dr Nik Ahmad Amiruddin yang meninggal dunia sebulan lalu.

Diketuai anak keempat daripada lapan beradik, Nik Nur Afifah, 27, Nik Nur Adlina dan Nik Ahmad Afiq berkongsi modal bersama kakak ipar mereka, Nik Nur Raihan Nik Othman, 21.

Puluhan ribu perlu dilangsaikan

“Kami sangat sedih kerana kehilangan tunggak pencari rezeki keluarga iaitu bapa akibat sakit jantung.

“Banyak bil utiliti sampai di rumah termasuk cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan jumlah puluhan ribu ringgit perlu dilangsaikan, tekanan ini akhirnya menyebabkan kami nekad bantu ibu selesaikan masalah,” katanya.

Kata Nik Nur Afifah, idea meniaga ais kepal tersebut tercetus setelah melihat video ais kepal di Ipoh, Perak.

“Ais kepal ini adalah makanan kami sejak kecil, Nik Nur Adlina dan seorang lagi adik suka mereka cipta minuman begini, jadi atas hasrat bantu ibu (Che Hadawiah Che Long) langsai cukai bapa, kami berpakat meniaga.

“Arwah bapa seorang doktor dan ada klinik sendiri, oleh itu banyak tanggungan arwah semasa hayatnya.

“Sudah seminggu kami meniaga di hadapan kedai abang, Nik Ahmad Hakimi. Alhamdulillah, ada pelanggan yang ambil gambar dan video lalu mereka viralkan di media sosial Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Perniagaan ais kepal diletak Milo itu kemudiannya tular di laman sosial sejak seminggu lalu setelah menjadi tumpuan ramai sehingga jalan Demit-Kubang Kerian menjadi sesak dengan kenderaan yang berhenti membeli Ice Kepal Lagend.

50kg Milo sehari

Kata Nik Nur Adlina, dalam sehari dia memerlukan 50 kilogram Milo dan secara purata mampu menjual 700 mangkuk kertas ais kepal sehari.

“Buat masa ini, kami terpaksa mencari sumber Milo di merata pasaraya dan untuk selesaikan masalah ini, saya sudah menghubungi pihak Milo untuk dapatkan bekalan yang banyak.

“Majoriti yang datang adalah golongan belia dan segelintirnya orang dewasa yang terliur dan ada pelanggan sama membeli setiap hari,” katanya.

Mengharapkan perniagaannya maju, Nik Nur Afifah berkata, dia memasang impian untuk ada kedai kekal sendiri dan mahu membuka banyak cawangan, malah dia berharap ada pihak turut membantu mereka melebarkan perniagaan di negeri ini.

“Kalau ada yang ingin menempah ais kepal ini, kami akan berusaha memenuhi permintaan pelanggan bagi majlis rasmi dan kenduri perkahwinan,” katanya.

Mereka mengambil inisiatif memakai penutup hidung (mask) bagi menjaga kebersihan semasa menyediakan ais kepal yang berharga RM4 semangkuk.

Sementara itu, Nur Irdina Mazlan, 21, dari Tendong, Pasir Mas berkata, dia sanggup beratur panjang kerana teruja dengan cerita keenakan ais kepal.

“Saya bersama rakan, Syaridatul Atirah Zulkifli, 21, dari Wakaf Stan beratur untuk beli tujuh bekas ais kepal,” katanya.

Bagi Mohd Izzudin, 28, dari Kampung Melawi, Bachok, dia menjadi ‘runner’ jual ais kepal yang dihantar mengikut lokasi COD (cash on delivery) ke tempat pelanggan sebagai inisiatif mencari rezeki tambahan.

“Lagipun ais kepal ini benda baru di sini, ramai yang tertarik dan ingin mencuba, sebab itu ramai yang beratur panjang,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *