Beri suapan pada polis untuk bebaskan pendatang

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 JANUARI 2016

KOTA BHARU – Seorang pemunggah barang mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan memberi suapan RM1,700 kepada seorang anggota polis bagi tujuan membebaskan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), minggu lalu.

Azman Awang, 46, didakwa merasuah Koperal Ferdaus Jahya yang bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Risikan Batalion 7 Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Kuantan, Pahang, pada jam 9.30 malam, 13 Januari.

Kesalahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, itu bertujuan mendorong anggota berkenaan melepaskan enam Pati warganegara Myanmar iaitu Sai Thein Win; Nay Win Tun; Thet Oo Tei Win; Kyaw Lwin Pu; Auwg Thein Thoung fan Naue War Oo.

Kesemua Pati terbabit tiada dokumen perjalanan sah. Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri SPRM, Shahidah Muslimah Roslan mencadangkan jaminan RM10,000 oleh dua warga tempatan dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan bagi mengelak dia melarikan diri.

Tertuduh dalam rayuannya, bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dan belum diketahui sama ada mahu dibicarakan sendiri atau menggunakan khidmat peguam.

Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta menetapkan syarat seperti dicadangkan Shahidah Muslimah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Februari depan bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam. Selesai prosiding, tertuduh dibawa ke kaunter bayaran untuk menjelaskan jaminan tersebut.

82 termasuk dua wanita ditangkap

AZMAN CHE MAN
19 JANUARI 2016

TANAH MERAH – Seramai 82 orang termasuk dua wanita ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah terutama membabitkan kes dadah dalam Ops Tapis Bersepadu di sekitar daerah ini, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, dalam operasi menyeluruh selama lapan jam itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah, daun dan cecair ketum serta mercun.

Katanya, operasi disertai 10 pegawai dan 69 anggota dari sembilan balai polis di daerah itu turut merampas dua kereta Perodua Kancil dan menahan suspek berusia 25 tahun dipercayai berkait laporan kes curi di Kota Bharu.

“Suspek berumur 14 hingga 70 tahun terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah terutama dadah dan daripada 82 tangkapan ini, sebanyak 76 kertas siasatan dibuka.

“Nilai pelbagai dadah jenis pil kuda, syabu, ganja dan heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,000, manakala nilai mercun kira-kira RM500,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Suzaimi berkata, operasi yang dijalankan hasil risikan polis itu menumpukan kawasan berhampiran sempadan daerah ini dengan negara jiran seperti Bukit Bunga, terutama bagi kes dadah dan ketum.

Katanya, hasil operasi dari jam 12.01 tengah malam hingga 8 pagi itu, sebanyak 55 kes dengan 15 tangkapan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Di bawah akta sama, sebanyak sembilan kes dengan sembilan tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12(2), dua kes dengan dua tangkapan di bawah Seksyen 39A(1) dan satu kes di bawah Seksyen 6.

“Enam lagi kes melibatkan 10 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan baki empat suspek ditahan kerana mempunyai waran tangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Suzaimi berkata, semua anggota dan balai polis berhampiran sempadan di daerah ini sudah diarah meningkatkan meningkatkan kawalan dan pemantauan susulan perkembangan terkini berkaitan serangan pengganas.

“Kita sudah nasihatkan anggota dan balai polis di kawasan sempadan supaya beri lebih perhatian dan tingkatkan langkah keselamatan terutama dengan ancaman gerakan militan Negara Islam (IS).

“Kita juga harapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi menangani sebarang kes jenayah termasuk yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Derita 6 beranak huni rumah usang

HABSAH ISMAIL
19 JANUARI 2016

KOTA BHARU – Seminggu lalu, tempat bergantung kasih keluarga ini, iaitu bapa kepada lima anak, Mahama Yayor @ Nasir, 48, meninggal dunia setelah menderita penyakit barah otak.

Kematiannya sekaligus merentap kehidupan keluarga mereka yang hidup miskin, hilang punca pendapatan dan semakin bimbang, tiada pendapatan tetap.

Ibu tunggal, Aisyah Zakaria, 48, sambil menangis mengakui, sejak seminggu lalu, dia terpaksa berjalan kaki menghantar empat anak yang masih bersekolah disebabkan tidak mempunyai kenderaan.

“Arwah suami meninggal setelah sebulan menderita barah otak dan sebelum ini, dia langsung tidak menunjukkan tanda sakit, malah boleh meneruskan kerja menjadi pembantu tukang masak di kedai.

“Sekarang saya tidak bekerja, terpaksa hantar anak ke sekolah jalan kaki sebab tiada kenderaan dan berhimpit tidur kerana rumah tiada bilik,” katanya semasa ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Datu, di sini, semalam.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian Ketua Umno Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, Skuad Sayang Pengkalan Chepa dan Pengerusi Jawatan kuasa dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Pengkalan Datu, Mat Nasir Ab Rhaman.

Lebih menyedihkan, rumah yang tidak mempunyai bilik didiami sejak 11 tahun lalu, dindingnya diperbuat daripada buluh baruh padi dan kayu kini semakin runtuh dimakan anai-anai.

“Keadaan lantai paling merisaukan kerana hanya beberapa tempat sahaja boleh dipijak. Rosak teruk dan patah. Di ruang tamulah kami tidur berhimpit anak-beranak. Hanya tempat ini sahaja lantainya berkeadaan baik.

“Malam pula waktu paling saya bimbang kerana dinding boleh pecah apabila disentuh, dan hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan seorang ibu mengenang keselamatan anak-anak,” katanya.

Aisyah berkata, empat anaknya masih bersekolah iaitu Tengku Puteri Anis Aida Tengku Naza, 19, Tengku Puteri Norazlin, 18, Mohamad Arif, Nurul Iman Mahama, 7 dan Nurul Izah, 4 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor dan Sekolah Menengah (Ugama) Arab Tarbiah Mardiah, Panchor serta seorang di SMK Seri Intan, Machang.

“Kalau saya diberikan modal, saya ingin mengubah nasib keluarga dengan berniaga pakaian dan kain batik,” katanya.

Sementara itu, Zaluzi berkata, pada peringkat awal, pihaknya menyalurkan bantuan kewangan dan peralatan rumah yang diperlukan.

“Kita akan ikhtiarkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan bulanan, mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi  rumah PPRT dari harga RM40,000 hingga RM50,000 bagi membolehkan mereka dapat tinggal dengan selesa,” katanya.

Mengaku tidak bersalah rasuah polis lepaskan Pati

ADILA SHARINNI WAHID
18 JANUARI 2016

KOTA BHARU – Seorang pemunggah barang mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu,  sebentar tadi, atas tuduhan merasuah anggota polis RM1,700 bagi melepaskan enam lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin, minggu lalu.

Tertuduh Azman Awang, 49, didakwa memberi suapan itu kepada seorang koperal polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini, pada jam 9.30 malam, 13 Januari.

Pada prosiding itu, tertuduh dibenarkan jaminan berjumlah RM8,000 dengan dua penjamin tempatan dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Februari depan.

Nelayan rugi RM120,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 JANUARI 2016

BACHOK – Seorang nelayan dai Pantai Geting, Tumpat, menanggung kerugian kira-kira RM120,000 kerana botnya pecah akibat tersangkut pada beting pasir berdekatan pantai Kampung Telong, dekat sini, sejak pagi kelmarin.

Pemilik bot, Azmi Mamat, 40, berkata, ketika itu dia bersama dua lagi awak-awak dan tekong sedang menangkap ikan di pesisir pantai Telong sejurus keluar dari jeti Tok Bali, Pasir Puteh.

Menurutnya, kejadian pada kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan sebahagian besar struktur botnya pecah serta dimasuki air bersama pasir dan ombak terlalu kuat menyebabkan bot-bot lain tidak sempat membantu mereka.

“Selepas itu, bot-bot yang datang bantu tak dapat gerakkan bot ini, menyebabkan ia pecah dipukul ombak. Bahagian kepala bot pecah dan banyak dimasuki pasir menyebabkan bot senget.

“Saya tak balik rumah malam tadi sebab tunggu air pasang pada tengah malam (kelmarin) untuk cuba tarik bot ke tepi, Tapi sehingga pagi ini (semalam) kami tak dapat buat apa-apa,” katanya.

Menurutnya, dia hanya ingin melihat sama ada enjin, ‘speed gear’, kipas atau barangan lain dalam bot masih boleh diselamatkan dan sejak kelmarin, dia telah menghabiskan ribuan ringgit untuk mengupah orang memantau serta menarik bot.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kedai Geting itu memaklumkan, ada pihak ingin membeli bot itu bulan lalu dan menawarkan harga RM120,000.

“Namun saya enggan jual kerana hanya itu aset yang saya ada sejak tiga tahun lalu. Ini kali pertama saya mengalami kejadian seumpama ini sejak menjadi nelayan zon A (pesisir pantai) sejak kira-kira 23 tahun lalu,” katanya

Dekati belia, beri fahaman jihad

ROSALWANI CHE SOH
18 JANUARI 2016

KOTA BHARU – Golongan belia perlu didekati dan diberi fahaman jelas berhubung jihad dalam konteks Islam yang sebenar bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gerakan radikal seperti militan IS yang jelas tersasar daripada ajaran agama sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk melaksanakan pendekatan terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai belia seharusnya mendekati peringkat belia seusia mereka ini.

Dalam usaha ini katanya, kerajaan juga perlu mengadakan kerjasama dengan pihak NGO terbabit bagi membantu melaksanakan pendekatan sebenar bagi memastikan golongan itu tidak mudah terjebak.

“Mereka ini mudah terpengaruh dengan anasir luar dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Islam tidak mengajar melalukan keganasan sebagai jihad,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan empat belia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dan seorang lagi di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Setiawangsa, yang dipercayai terlibat dalam gerakan militan IS.

Terdahulu Asyraf Wajdi menghadiri majlis dialog belia anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) semalam,  turut dihadiri Yang Dipertua MBK, Syahbuddin Hashim.

Berang ditegur, anak curah air, libas ibu dengan kain

ADILA SHARINNI WAHID
18 JANUARI 2016

KOTA BHARU – Padah buat seorang pendawai elektrik apabila dihukum penjara 10 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, akibat mencurah air serta melibas ibunya dengan kain basah kerana menegur perbuatan membawa balik teman wanita ke rumah mereka.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin terhadap tertuduh, Mohd Afisma Baharudin, 40, selepas dia mengaku bersalah pada kedua-dua tuduhan yang dihadapi.

Tertuduh didakwa pada tuduhan pertama sengaja menyebabkan kesakitan dan kecederaan kepada ibunya, Zah Hussin, 60, dengan memukul belakang mangsa menggunakan kain batik hingga mendatangkan cedera dan sakit.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di alamat Kampung Aur Duri, Salor, di sini, pada jam 11.30 pagi, 11 Januari lalu.

Pada masa, tarikh dan lokasi sama, tertuduh juga mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa.

Mohd Firdaus dalam hukumannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan bagi kesalahan pertama, manakala denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal jelas denda bagi kesalahan kedua.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam awam memohon hukumannya diringankan kerana insaf dan menyesali perbuatan itu, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Ainun Zafirah Abd Halim memohon hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh yang mengasari ibu kandungnya sendiri.

Kejadian berpunca apabila mangsa menyuruh tertuduh menghantar teman wanitanya yang berada di dalam bilik tertuduh sejak 9 Januari lalu.

Tertuduh yang marah dengan teguran itu kemudian mengambil air lalu mencurah ke badan mangsa hingga basah. Dia juga mengajak mangsa bertumbuk dan memukul mangsa dengan kain batik.

Semasa mangsa mengelak daripada anaknya itu dan menuju ke ruang tamu, dia terlanggar kerusi serta terjatuh hingga patah tangan. Mangsa yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan polis.

Pada jam 7.15 petang, hari sama, tertuduh bersama pasangannya yang masih berada di rumah terbabit kemudian ditahan polis.

Anak sulung daripada tujuh beradik berkenaan dipercayai penagih dadah dan sering memukul ibunya serta meminta wang daripada mangsa.

Kafa wujudkan Jawatankuasa Khas urus dana RM16 juta

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 JANUARI 2016

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memastikan tiada ketirisan, penyalahgunaan dan pembaziran wang daripada penajaan RM16 juta yang diterima daripada Vida Beauty, Sdn Bhd.

Jawatankuasa ini yang diketuai pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bersama enam lagi ahli yang akan memainkan peranan penting bagi memastikan matlamat pembangunan sukan serta strategi yang dirancang berjalan dengan lancar.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Ab Fattah Mahmood turut berada dalam jawatankuasa berkenaan.

“Selain itu, bekas Presiden Kafa 2004-2008, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Kelab Penyokong Rasmi, Pengerusi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net).

“Tidak ketinggalan menyertai jawatankuasa ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kelab Penyokong dan Bendahari Kafa.

“Komuniti yang dibentuk ini akan berbincang bagi memastikan perancangan dan pembangunan berjalan lancar serta boleh menandatangani cek,” katanya.

Jelasnya, apabila mendapat penajaan seumpama ini, pihaknya perlu memastikan segala perbelanjaan dan perancangan berjalan seiring dengan perkembangan pasukan.

“Sebenarnya banyak idea bernas dilontarkan Dr Vida, antaranya mengadakan perlawanan antarabangsa dengan Kelantan menjadi tuan rumah, baik pulih infrastruktur, pembangunan bola sepak akar umbi dan pelbagai perancangan lagi.

“Jadi sebagai Presiden Kafa, saya merasakan kita perlu membalas kepercayaan yang diberikan Dr Vida,” katanya yang mengharapkan dana disalurkan itu diuruskan secara berjemaah dengan keutamaan adalah urusan gaji dan bonus pemain.

‘Belanja sekolah saya hanya cukup untuk beli nasi’

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 JANUARI 2016

KOTA BHARU – “Setiap hari, perbelanjaan sekolah saya RM2, hanya untuk membeli nasi sahaja,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 3, Khaafi Kamel Mohammad, 10.

Dia yang berasal dari Kampung Paya Senang, di sini, berkata, duit belanja itu hanya cukup untuk membeli nasi di kantin sekolah.

“Emak bagi RM2 dan kalau ada kelas fardu ain, RM3. Saya hanya beli nasi dan air hanya bekal dari rumah. Itu sahaja yang mampu emak saya bagi.

“Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, namun ia tak melunturkan semangat saya untuk belajar kerana mahu bantu emak nanti,” katanya yang menggunakan basikal untuk ke sekolah.

Tambah Khaafi yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini, bapanya meninggal dunia ketika umurnya tiga tahun.

“Untuk menyara perbelanjaan kami sekeluarga, emak bekerja di kedai runcit berdekatan dengan rumah,” katanya yang menetap di rumah pusaka peninggalan arwah bapa.

Sementara itu, Nur Qashrina Adani, 10, yang dibesarkan oleh neneknya di teratak usang di Kampung Batu Dua, di sini, telah kehilangan bapa sejak kecil lagi.

“Sejak kecil, saya tinggal dengan nenek. Ibu ada, tapi dia bekerja di Kuala Lumpur. Dia hanya balik bila ada cuti sahaja.

“Kesempitan ini membuatkan saya bersemangat untuk belajar. Bila besar nanti, saya nak jadi doktor, boleh tolong orang sakit,” katanya lagi.

Khaafi dan Qashrina adalah antara 202 murid di beberapa sekolah yang menerima sumbangan daripada pihak pengurusan, Hotel Renaissance, dengan kerjasama Kelab Lion KB Blossoms.

Menurut pengarah program, Nur Laila Yusoff, program, ‘Make My Wish Come True’ itu menyenaraikan keperluan sekolah untuk murid yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM800 sebulan dan anak-anak yatim.

“Antara sumbangan yang disalurkan adalah peralatan sekolah termasuk baju, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis.

“Diharapkan sumbangan ini mampu meringankan beban keluarga mereka dan menyuntik semangat murid-murid untuk terus berjaya tanpa memikirkan kesempitan yang dialami,” katanya.

Demi negara, bukan wang

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 JANUARI 2016

TRAGEDI13 Mei 1969 menjadi pembakar semangat Hussin Yasok, 65, untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia.

Pada 1 Januari 1970, Hussin mula mengikuti latihan tiga bulan sebelum ditempatkan di Rejimen Renjer Malaysia yang kini dikenali dengan Rejimen Renjer Diraja.

Bersama pasukan yang terkenal dengan cogan kata daripada bahasa Iban, ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ yang bermaksud ‘Selagi Ada Hayat, Selagi Itulah Berjuang’, Hussin terlibat dalam pelbagai operasi di seluruh negara.

Katanya, banyak pengalaman pahit manis dilalui bersama rakan sepasukan selama enam tahun berkhidmat di rejimen tersebut, termasuk melihat sendiri rakannya maut dan cedera ketika operasi.

Namun baginya, peristiwa itu dianggap sebagai cabaran dan tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk berjuang menentang komunis ketika itu.

“Biarpun terpaksa berpisah dengan keluarga dan berdepan maut setiap saat, sebagai anggota tentera, kami bangga dengan kerjaya kami apatah lagi jika berjaya mengalahkan musuh.

“Saya masih ingat ketika diserang hendap di Batang Oya, Sarawak, dua rakan saya jatuh dalam sungai tersebut dan mati lemas. Biarpun pahit, kami terimanya sebab itu pengorbanan kami untuk negara,” ceritanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Gaji permulaan RM60 sebulan

Hussin berkata, dengan gaji permulaan sebanyak RM60 sebulan, dia melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, bukan wang gaji yang menjadi perkiraan, tetapi yang lebih penting untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Baginya, 22 tahun bergelar anggota tentera sesuatu yang cukup manis untuk dikenang, apatah lagi seorang anak lelakinya turut mengikut jejak langkahnya dan kini bertugas sebagai pegawai tentera.

Tambahnya, lebih menarik bila mereka pernah bertugas di bawah satu bumbung selama dua tahun sebelum dia berpencen pada 1992.

“Biarpun ada yang menganggap agak pelik bila anak jadi ‘bos’ kepada ayah sendiri, namun itu hanya di tempat kerja dan saya cukup bangga apabila dia mengikut jejak langkah saya untuk berkhidmat demi negara.

“Seolah-olah perjuangan saya tak pernah berakhir sekalipun telah bersara,” katanya.

Menurutnya, selepas bersara dia masih aktif dan pernah dilantik sebagai Timbalan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Machang selama 11 tahun yang mana kini dikenali dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, Hussin juga pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Pentadbir Mukim Kemuning hingga kini.

Selain Rejimen Renjer Diraja, Hussin pernah berkhidmat sebagai jurulatih di Sekolah Pegawai Kadet di Sebatang Kara, Port Dickson.

Penuhi Citarasa Anda