NAMA Kampung Kuau, Keluat dikatakan berasal daripada nama pokok yang banyak tumbuh di kampung berkenaan
Kebanyakan nama tempat mempunyai sejarahnya tersendiri, sama ada bersandarkan nama pengasas atau benda sekitar yang terdapat di kawasan tersebut.
Begitu jugalah untuk Kampung Kuau, Keluat dan Chantum, tiga kampung yang terletak berdekatan, disaliri Sungai Kemasin yang mengalir ke Laut China Selatan.
Mukim Kuau terletak dalam daerah Melawi, Dun Perupuk, manakala Mukim Keluat pula dalam daerah Tanjung Pauh, Dun Tawang. Di antara dua kampung inilah terletaknya Kampung Chantum yang menjadi perantara kedua-duanya.
Kampung lain yang bersempadan dengannya ialah Kampung Badak di sebelah timur dan Kampung Padang Cina di sebelah utara.
Manakala di sebelah baratnya terletak Kampung Kelerek dan selatannya, Kampung Tualang Salak serta Kampung Paya Teratai.
Mengikut bancian pada 2010, bilangan penduduk Mukim Kuau ialah 1,800 orang, manakala penduduk dalam Mukim Keluat seramai 2,269.
Asal nama pokok
Salasilah kampung berkenaan dikatakan berasal daripada nama pokok iaitu pokok kuau yang berdaun lebar dan merimbun.
Kayunya boleh dijadikan perabot dan ukiran. Daunnya dikatakan boleh dijadikan ubat sakit perut dengan menggumpalkannya dan ditampal pada perut. Manakala, air rebusan daunnya juga boleh diminum untuk menjarakkan kelahiran anak.
Manakala, pokok keluat pula sejenis pokok menjalar dan memanjat dengan daun kecil. Batangnya boleh dipintal dijadikan tali dan daunnya digunakan untuk mengenal pasti sakit barah dengan menggumpalkannya di tempat yang bengkak. Buahnya pula digoreng untuk santapan snek.
Pengerusi Komuniti 1 Malaysia (K1M) Kuau Keluat, Che Norddin Che Hassan berkata, salasilah kampung itu dikatakan berasal daripada nama pokok kuau dan keluat yang suatu ketika dahulu banyak tumbuh di kedua-dua kampung berkenaan.
“Salasilah asal kampung ini ada dicatatkan dalam profil K1M Kuau Keluat untuk rujukan dan tatapan generasi akan datang.
“Kami juga ada menanam dua pokok ini di pekarangan anjung bestari beberapa tahun lalu ketika lawatan bekas Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Abdullah Morad bersama Datin Hasmah Baba ke kampung ini pada 2011,” katanya.
Che Norddin berkata, Komuniti Bestari Kuau- Keluat ditubuhkan pada 13 Mei 2007, yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai K1M Kuau/ Keluat.
Difahamkan, K1M Kuau Keluat antara yang banyak menerima anugerah peringkat kebangsaan dan negeri seperti Anugerah Komuniti 1 Malaysia harapan dan pernah mengadakan demonstrasi masakan pada program Rewang
Perkahwinan, anjuran Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur yang mendapat pujian penganjur.
Chantum jadi penghubung
Sejarah kerjasama penduduk kedua-dua kampung itu dikatakan sangat unik. Pada asalnya, hanya terdapat sebuah sekolah agama rakyat yang letaknya di Kampung Kuau kerana jumlah penduduk kampung berkenaan lebih ramai.
Namun kemudiannya, kerajaan menawarkan bangunan sekolah baharu pada sekitar hujung 1940-an.
Dari situ, dikatakan timbul perselisihan berebut meminta pihak kerajaan memilih tempat baharu di kampung masing-masing.
Dengan penuh hemah, pihak kerajaan telah memilih sekeping tanah di sempadan antara Kampung Kuau dan Kampung Keluat, lalu diberi nama Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum yang membawa maksud semangat kerjasama iaitu percantuman antara dua kelompok masyarakat untuk maju dalam pendidikan dan kehidupan seluruhnya.
Ketika mula ditubuhkan pada 1966, sekolah itu hanya mempunyai sebuah bangunan kayu dengan tiga bilik darjah yang memuatkan 162 murid, sebuah stor dan sebuah kantin kecil.
Pada 1976, bangunan dua tingkat dibina melibatkan empat kelas, bilik guru besar dan sebuah kantin baharu.
Jadi penempatan tokoh dahulu kala
Che Norddin berkata, desa tersebut sebenarnya telah mula didiami bermula pada 1840 lagi. Di sinilah lahirnya ramai tokoh masyarakat yang terkenal seperti Pendekar Tok Dor.
Kehebatannya diceritakan apabila ditepuk dua belah tangannya, maka keluarlah api daripada kedua tangannya. Apabila dipegang keris, lembing dan pedang, maka senjata tersebut menjadi lembik dan cair.
Pada awal 1900-an pula, lahir pendekar terbilang seperti Tok Dor Mejoh, Pak Wel Berani dan Tok Merah. Mereka banyak menabur bakti dalam memburu dan menghalau perompak serta lanun yang ada pada waktu itu.
Pada zaman pendaratan Jepun pula, kampung itu dikatakan jadi tempat perlindungan golongan hartawan yang mengelak daripada diculik dan dirompak. Banyak harta seperti emas dibawa bersama.
Diceritakan apabila tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa dan membakar stesen minyak, apinya dapat dilihat dari kampung ini.
Justeru, penduduk kampung dikerah untuk menjirus dan menyiram air ke seluruh kampung untuk mengelakkan desa itu daripada hangus terbakar.
Pengangkutan awal ketika itu pula hanyalah perahu dan rakit. Ia mewujudkan beberapa pengkalan utama seperti pengkalan Domek, pengkalan Tok Dor Mejoh, pengkalan Che Senik, pengkalan Penghulu Samad, pengkalan Wak Man, pengkalan Tangok dan pengkalan Pendekar Said.
Selain itu, suatu ketika dahulu kampung berkenaan juga terkenal dengan permainan tradisional seperti kertok, rebana, gasing, silat, boksing dan pelaga lembu.
Di sini dikatakan lahirnya rebana Tok Gajah yang dipimpin Lebai Dolah dan rebana Sri Payung dipimpin oleh Pak Da Harun.