Rela berkorban jaga anak saudara

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 DISEMBER 2015

PASIR MAS – Demi kasih dan sayang, seorang warga emas di Kampung Kuwek, Chetok, di sini, sanggup menghabiskan sisa hidupnya menjaga dua anak saudara berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun kudratnya tidak lagi segagah dahulu.

Yah Daud, 80, memberitahu, dia mula menjaga kedua-dua anak saudaranya itu, Mohd Suhaimi Abdullah Tahir, 44 dan Mohd Hazif, 34, sejak empat tahun lalu, iaitu selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia.

Menurutnya, sebelum itu kedua-dua anak saudaranya itu dijaga oleh ibu saudara sebelah ayah mereka, sebelum dia mengambil alih tanggungjawab itu pada 2011.

“Mohd Suhaimi merupakan pesakit lumpuh dan terlantar sejak setahun lalu selepas diserang demam panas, manakala Mohd Hazif menghidap penyakit lembam.

“Hanya Mohd Hazif mampu urus diri sendiri sedangkan abangnya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain sepenuhnya di samping perlu menggunakan lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Yah berkata, walaupun kudratnya tidak kuat, namun dia berasa gembira dapat menjaga kedua-dua anak saudaranya itu dan berharap sentiasa diberikan kekuatan serta nikmat kesihatan oleh ALLAH SWT untuk meneruskan tanggungjawab itu.

Di sebalik semua itu, Yah berasa lega kerana tanggungjawab menjaga Mohd Suhaimi dan Mohd Hazif turut dikongsi oleh anaknya, Sabariah Daud, 60, terutama dalam urusan makan dan minum mereka.

“Mujur ada Sabariah yang turut menampung perbelanjaan kedua-dua sepupunya itu. Walaupun Sabariah hanya ambil upah toreh getah dan ada tanggungan sendiri, dia tetap bantu sepupunya,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rumah didiami Yah bersama dua anak saudaranya itu hanya menunggu masa untuk roboh dan mereka kini menumpang di rumah keluarga menantu warga emas itu selepas rumah lamanya rosak teruk dilanda bah kuning penghujung tahun lalu.

Jalan berjinjit ke dewan kuliah

ROSMIZA KASIM
8 DISEMBER 2015

KOTA BHARU – Tidak sempurna seperti insan lain, terpaksa jalan berjinjit ke dewan kuliah, namun itu tidak menjadi halangan kepada seorang penuntut Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kepujian.

Mohamad Fazran Razali, 24, berkata, dia tidak mampu bergerak dengan laju seperti rakan lain kerana perlu bergantung sepenuhnya kepada hujung jari kakinya untuk berjalan.

“Ketika ke kelas, saya pernah jatuh semasa berjalan tetapi saya tak malu, saya bangun semula dan teruskan langkah saya demi keluarga,” katanya kepada media, semalam.

Anak pasangan Razali Ibrahim, 50, dan Norhayati Mohamad, 45, dari Kampung Gerai, Jerteh Terengganu itu, merakamkan detik bersejarah dalam hidupnya dengan menerima segulung ijazah daripada Naib Canselor UMK, Datuk Dr Mortaza Mohamed pada Istiadat Konvokesyen UMK kali ke 5, di sini.

Mohamad Fazran turut berkongsi kegembiraannya bersama ibu dan ibu saudaranya, Hamidah Abdullah, 54, kerana bapanya masih menunaikan umrah.

Mohamad Fazran yang mengikuti jurusan industri reka bentuk di Kampus UMK Bachok itu juga memberitahu,  kecacatan otot kaki dialaminya sejak dilahirkan tidak pernah dianggap sebagai halangan dalam hidupnya untuk mencapai impian seperti insan lain.

“Saya sedar, kedua-dua otot kaki saya lemah tetapi saya berpegang pada prinsip, tidak ada benda susah, kita ni walaupun berbeza fizikal tetapi otak kita sama, kita fikir benda sama sahaja, cuma saya tidak boleh buat kerja berat sahaja, jadi saya kena usaha,” katanya.

Menurutnya, sokongan ibu bapanya yang menyediakan kenderaan sesuai dengan keadaan fizikalnya juga dianggap sebagai satu ‘hadiah’ untuknya supaya jangan berputus asa dalam hidup selagi ada harapan.

“Kejayaan ini adalah hadiah untuk orang tua saya yang selama ini, siang dan malam memberikan semangat kepada saya untuk belajar,” katanya.

Ditanya perancangan seterusnya, Mohamad Fazran berkata, dia akan berikhtiar mengumpulkan wang bagi menyambung pengajiannya.

Dalam masa sama,  anak kelahiran Jerteh, Terengganu itu juga berusaha mencari pekerjaan dan yakin, berkat kelebihan dikurniakan Ilahi kepadanya itu dalam reka bentuk automotif boleh membantunya melangkah lebih jauh lagi.

Mohamad Fazran juga berharap, insan senasib dengannya tidak meletakkan kekurangan diri sebagai benteng dalam usaha mengejar cita-cita, yang pastinya perlu berdoa dan berusaha untuk mengubah hidup.

Sesi graduasi UMK melibatkan 1,062 penuntut berakhir, semalam.

Warga emas tak pernah ke hospital

AKMALIAH RAZAK
8 DISEMBER 2015

KOTA BHARU – “Sapo maghi tu. Maaflah, kita tak napok, telingo pon kure dengar…,” itulah antara sapaan pertama apabila penulis melangkah masuk ke teratak usang milik Ibrahim Che Ha, 91, di Kampung Hutan Banggol, Telaga Gajah.

Meskipun hanya mampu terbaring lesu, namun mulutnya tidak putus bertanya itu ini dan menyebut kalimah Ya ALLAH, barangkali untuk meringankan kesakitan.

Lebih memilukan apabila melihat satu lagi susuk badan yang turut terbaring di sudut kediaman mereka. Itulah isteri tercintanya, Wan Ramah Wan Ismail, 64.

Gagal menguruskan keperluan sendiri, kedua-dua warga emas itu diuruskan oleh anak perempuannya, Noraini Ibrahim, 35.

Menurut ibu tunggal anak lima ini, ibunya lumpuh sejak dua tahun lalu, manakala bapanya pula sejak tahun lalu.

“Semasa bapa sihat, dia kerja sebagai pencuci dan penjaga kawasan perkuburan, manakala ibu pula tidak bekerja. Sebelum ini, dia hanya kerja kampung sahaja.

“Masalah penglihatan mula terjejas sejak dia bekerja di kubur lagi apabila hanya mampu pergi ke kubur tapi bila pulang, salah jalan ataupun tersesat dalam hutan berdekatan kawasan rumah.

“Sepanjang tempoh itu, kami hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 tetapi sejak tiga bulan lalu, bantuan tersebut tidak diperoleh,” katanya.

Noraini berkata, nilai itu sememangnya tidak mencukupi kerana keperluan lampin pakai buang sahaja lebih RM200.

“Hanya ayah saya yang dapat bantuan. Ibu tak pernah dapat. Kedua-duanya bergantung pada bantuan itu sahaja,” katanya yang menerima kunjungan JKM dan Puteri Umno bahagian beberapa hari lalu.

Sukar untuk ke hospital

Tambah Noraini, adik-beradik yang lain juga adakala membantu dengan menghulurkan makanan tetapi dari segi kewangan, mereka juga tidak berkemampuan.

“Sejak ibu ayah sakit, mereka tidak pernah dirujuk ke mana-mana hospital kerana kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan kenderaan.

“Saya hanya mampu menyuapkan nasi, menguruskan keperluan harian seperti tukar lampin pakai buang dan mandikan sahaja. Untuk ke hospital, memang sukar.

“Kami tiada kenderaan dan sejak akhir-akhir ini, ayah mula mengadu sakit di bahagian pinggang. Kami juga pernah meminta bantuan kerusi roda daripada pihak tertentu, namun tak dapat,” katanya lagi.

Menurut Noraini, sebelum ibu bapanya terlantar sakit, dia bekerja sebagai tukang canting batik.

“Dahulu, saya kerja untuk menyara anak-anak tapi bila dua-dua sakit, saya tidak boleh tinggalkan mereka. Bila saya tidak bekerja, anak-anak tercicir dalam persekolahan.

“Anak sulung, Amirul Aiman Abdullah, 17, sudah dua tahun tidak bersekolah, manakala Muhamad Abdul Basir Abdullah, 12, pula sehingga kini tidak mampu untuk menjelaskan yuran persekolahan hampir RM200.

“Oleh sebab itu, dia tidak dapat mengetahui keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini. Muhammad Shahrul Fikri Mohd Sanusi, 9; Nur Suriadewi Mohd Sanusi, 8, dan Muhammad Shahkhir Ramadan, 5, pula hanya ke sekolah bila ada duit,” katanya yang tidak pernah mendapat bantuan JKM.

Kata Noraini lagi, ada kalanya, anak-anak memberontak untuk ke sekolah, namun dia tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut.

Padah ragut gelang emas

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 DISEMBER 2015

TUMPAT – Padah meragut seutas gelang tangan emas milik seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jubakar Pantai, di sini, Sabtu lalu, seorang lelaki dibelasah orang ramai sehingga berlumuran darah.

Perbuatan suspek berusia 25 tahun disedari oleh orang ramai yang kemudiannya mengejar suspek sehingga ke Kampung Geting, kira-kira 3 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Suspek melarikan diri menaiki motosikal, kemudiannya bersembunyi di belakang telaga di sebuah rumah penduduk namun nasibnya malang apabila terserempak dengan penghuni rumah yang mahu ke bilik air ketika itu.

Bunyi bising di rumah berkenaan disedari penduduk kampung yang mengejar suspek dan mereka telah mengepung serta memukulnya.

Dalam pada itu, suspek turut mencederakan anggota polis ketika tangkapan dibuat di tempat dia dipukul oleh penduduk kampung berkenaan.

Semasa kejadian ragut, suspek dipercayai telah pergi ke kedai runcit milik mangsa, Aminah Awang, 62, pada kira-kira jam 11.30 malam untuk membeli minyak motosikal.

Suspek secara tiba-tiba memegang tangan mangsa serta meragut gelang tangan emas dipakainya dan mangsa cuba melawan tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Disember.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan curi ragut, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang serta mencedereakan penjawat awam,” katanya.

Penduduk desak buka semula jalan

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 DISEMBER 2015

TANAH MERAH – Kira-kira 50 keluarga di Kampung Bukit Bertam, Batu Gajah, dekat sini, mendesak supaya jalan perhubungan mereka sejak hampir 70 tahun lalu yang ditutup pada akhir November lalu, dibuka semula.

Penduduk mendakwa, penutupan laluan tersebut menyebabkan urusan harian mereka terjejas kerana jalan itu digunakan untuk berulang-alik ke masjid, sekolah, klinik dan juga pasar.

Wakil penduduk yang juga penduduk asal Kampung Bukit Bertam, Zakaria Puteh, 72, mendakwa, tindakan menutup jalan itu dibuat pengurusan sebuah sekolah kebangsaan yang membina pintu pagar besar di laluan tersebut.

Dakwanya, selain menyukarkan penduduk, tindakan menutup jalan itu turut mendatangkan masalah kepada lebih 400 pelajar yang berulang-alik ke sekolah menggunakan laluan asal.

“Bila pihak sekolah (kebangsaan) tutup jalan ini, penduduk dan budak sekolah terpaksa keluar ikut jalan utama Tanah Merah-Jeli, yang lebih jauh untuk pergi ke masjid atau sekolah.

“Sekolah menengah bersebelahan juga terjejas sehingga pihak sekolah terpaksa bina pintu masuk lain untuk pelajar mereka kerana laluan asal ikut sekolah rendah ditutup,” katanya, semalam.

Zakaria memberitahu, jalan itu mula dibuka pada 1948 yang memberi kemudahan kepada penduduk setempat dan masyarakat sekitar untuk berulang-alik bagi menyelesaikan urusan seharian.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila tindakan menutup laluan tersebut dibuat tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk, yang sekian lama menggunakan jalan itu.

“Kami mahu jalan ini dibuka semula agar boleh dilalui kereta seperti sebelum ini, sebab sekarang kalau nak pergi masjid untuk solat lima waktu pun terpaksa ikut jalan jauh.

“Kami tak kisah kalau sekolah nak pasang atau bina pintu pagar, tapi kami mahu jalan ini dibuka seperti biasa untuk kemudahan orang ramai berulang-alik,” katanya.

Katanya lagi, selain jauh, laluan melalui jalan utama juga berbahaya terutama kepada pelajar pada waktu pagi kerana banyak kenderaan dan sentiasa sibuk.

Mengenai janji pihak sekolah untuk membuka pintu pagar setiap kali ada penduduk melalui jalan itu, Zakaria berkata, dia bimbang jika ia hanya janji kosong semata-mata.

“Macam mana jika masa penduduk nak ke klinik atau masjid pada waktu malam, tetapi tiada orang nak bukakan pintu? Saya tak rasa mereka boleh buat seperti dikata,” katanya.

Jangan hampakan UMK, ibu bapa

ROSMIZA KASIM
7 DISEMBER 2015

KOTA BHARU – Pro Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Tengku Muhammad Faiz Petra menasihatkan semua graduan supaya tidak menghampakan institusi pengajian dan juga ibu bapa.

Ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-5, semalam, baginda meletakkan graduan umpama permata dan duta kepada universiti di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Gunalah segala ilmu dan pengalaman ditimba sepanjang pengajian di universiti untuk memberi khidmat bakti kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan agama,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada 441 penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan yang diadakan di sebuah hotel, di sini.

Baginda yang juga Tengku Mahkota Kelantan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang telah memberikan kepercayaan kepada UMK untuk mendidik dan membangunkan anak mereka sehingga berjaya memperoleh kejayaan.

“Iringilah mereka dengan doa dan restu untuk menghadapi cabaran pada masa depan. Beta bersyukur dan berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar mengurniakan kepada kita semua hidayah untuk terus berusaha mencapai misi dan visi universiti tercinta ini,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda juga turut memuji pensyarah yang sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar, serta seluruh warga kerja universiti bersatu hati bagi melahirkan graduan UMK yang relevan, unik dan berbeza.

Titah baginda lagi, UMK sesungguhnya memikul amanah yang sangat besar untuk menjayakan agenda ‘Pendidikan Keusahawanan’.

“Beta yakin, UMK mampu melahirkan graduan mempunyai nilai kepimpinan, berdikari, sedia mengambil risiko, berkomunikasi secara berkesan, mempunyai jati diri yang ampuh dan nilai spiritual mantap.

“Graduan yang dilahirkan mampu memenuhi keperluan pekerjaan dan mereka juga mempunyai keupayaan dan keinginan tinggi untuk menceburi bidang baharu sebagai usahawan, bagi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat atau sebagai  job creator,” titah baginda lagi.

Selain itu, baginda juga turut mengingatkan bahawa peranan universiti bukan sahaja merangkumi aspek pembangunan akademik semata-mata, namun mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Keusahawanan sosial agenda penting dan penyelesaian alternatif terhadap permasalahan sosioekonomi dan kemanusiaan melalui prinsip perniagaan, nilai sosial, mengenal pasti peluang dan inovasi, sebagaimana yang disebut oleh Bapa Keusahawanan Sosial iaitu Gregory Dees.

“Ini turut menjadi asas kepada universiti membina keupayaan dan strategi tertentu bagi memastikan limpahan manfaat kepada masyarakat,” titah baginda.

Seterusnya, baginda juga turut menzahirkan kepercayaan UMK telah membuktikan kewujudannya dengan memberi impak positif terhadap komuniti, khususnya di Kelantan melalui program yang dijalankan.

Menyentuh mengenai pembabitan UMK secara langsung dalam pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) juga, baginda bertitah, ia menjadikan universiti berkenaan sentiasa relevan dengan pembangunan sosioekonomi masyarakat, khususnya di Pantai Timur.

Malah, baginda juga berharap inisiatif dan komitmen UMK menjadi pusat operasi bagi program pemulihan dan penyaluran bantuan terhadap mangsa banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini dapat diteruskan.

Baginda turut menzahirkan keprihatinan apabila mahukan  budaya ilmu melalui pembangunan nilai dan akademik harus seiring kemudahan prasarana yang kondusif.

“Dalam hal ini, beta berpandangan pihak universiti telah berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan kualiti kemudahan prasarana yang memenuhi keperluan UMK.

“Selain kemudahan dan pembangunan infrastruktur di tiga kampus, aspek pembelajaran dan pengajaran secara maya atau e-learning turut diberi penekanan bagi memastikan UMK terus relevan dengan arus pendidikan terkini,” titah baginda.

Asal-usul Kampung Kuau

ZAIMATULJUWITA
7 DISEMBER 2015

NAMA Kampung Kuau, Keluat dikatakan berasal daripada nama pokok yang banyak tumbuh di kampung berkenaan

Kebanyakan nama tempat mempunyai sejarahnya tersendiri, sama ada bersandarkan nama pengasas atau benda sekitar yang terdapat di kawasan tersebut.

Begitu jugalah untuk Kampung Kuau, Keluat dan Chantum, tiga kampung yang terletak berdekatan, disaliri Sungai Kemasin yang mengalir ke Laut China Selatan.

Mukim Kuau terletak dalam daerah Melawi, Dun Perupuk, manakala Mukim Keluat pula dalam daerah Tanjung Pauh, Dun Tawang. Di antara dua kampung inilah terletaknya Kampung Chantum yang menjadi perantara kedua-duanya.

Kampung lain yang bersempadan dengannya ialah Kampung Badak di sebelah timur dan Kampung Padang Cina di sebelah utara.

Manakala di sebelah baratnya terletak Kampung Kelerek dan selatannya, Kampung Tualang Salak serta Kampung Paya Teratai.

Mengikut bancian pada 2010, bilangan penduduk Mukim Kuau ialah 1,800 orang, manakala penduduk dalam Mukim Keluat seramai 2,269.

Asal nama pokok

Salasilah kampung berkenaan dikatakan berasal daripada nama pokok iaitu pokok kuau yang  berdaun lebar dan merimbun.

Kayunya boleh dijadikan perabot dan ukiran. Daunnya dikatakan boleh dijadikan ubat sakit perut dengan menggumpalkannya dan ditampal pada perut. Manakala, air rebusan daunnya juga boleh diminum untuk menjarakkan kelahiran anak.

Manakala, pokok keluat pula sejenis pokok menjalar dan memanjat dengan daun kecil. Batangnya boleh dipintal dijadikan tali dan daunnya digunakan untuk mengenal pasti sakit barah dengan menggumpalkannya di tempat yang bengkak. Buahnya pula digoreng untuk santapan snek.

Pengerusi Komuniti 1 Malaysia (K1M) Kuau Keluat, Che Norddin Che Hassan berkata, salasilah kampung itu dikatakan berasal daripada nama pokok kuau dan keluat yang suatu ketika dahulu banyak tumbuh di kedua-dua kampung berkenaan.

“Salasilah asal kampung ini ada dicatatkan dalam profil K1M Kuau Keluat untuk rujukan dan tatapan generasi akan datang.

“Kami juga ada menanam dua pokok ini di pekarangan anjung bestari beberapa tahun lalu ketika lawatan bekas Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Abdullah Morad bersama Datin Hasmah Baba ke kampung ini pada 2011,” katanya.

Che Norddin berkata, Komuniti Bestari Kuau- Keluat ditubuhkan pada 13 Mei 2007,  yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai K1M Kuau/ Keluat.

Difahamkan, K1M Kuau Keluat antara yang banyak menerima anugerah peringkat kebangsaan dan negeri seperti Anugerah Komuniti 1 Malaysia harapan dan pernah mengadakan demonstrasi masakan pada program Rewang

Perkahwinan, anjuran Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur yang mendapat pujian penganjur.

Chantum jadi penghubung

Sejarah kerjasama penduduk kedua-dua kampung itu dikatakan sangat unik. Pada asalnya, hanya terdapat sebuah sekolah agama rakyat yang letaknya di Kampung Kuau  kerana  jumlah penduduk kampung berkenaan lebih ramai.

Namun kemudiannya, kerajaan menawarkan bangunan sekolah baharu pada sekitar hujung 1940-an.

Dari situ, dikatakan timbul perselisihan berebut meminta pihak kerajaan memilih tempat baharu di kampung masing-masing.

Dengan penuh hemah, pihak kerajaan telah memilih sekeping tanah di sempadan  antara  Kampung  Kuau dan Kampung  Keluat,  lalu diberi  nama Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum yang membawa  maksud semangat kerjasama iaitu percantuman antara dua  kelompok  masyarakat  untuk  maju dalam pendidikan dan kehidupan seluruhnya.

Ketika mula ditubuhkan pada 1966, sekolah itu hanya mempunyai sebuah bangunan kayu dengan tiga bilik darjah yang memuatkan 162 murid, sebuah stor dan sebuah kantin kecil.

Pada 1976, bangunan dua tingkat dibina melibatkan empat kelas, bilik guru besar dan sebuah kantin baharu.

Jadi penempatan tokoh dahulu kala

Che Norddin berkata, desa tersebut sebenarnya telah mula didiami bermula pada 1840 lagi. Di sinilah lahirnya ramai tokoh masyarakat yang terkenal seperti Pendekar Tok Dor.

Kehebatannya diceritakan apabila ditepuk dua belah tangannya, maka keluarlah  api daripada kedua tangannya. Apabila  dipegang  keris,  lembing dan  pedang,  maka senjata  tersebut menjadi lembik dan cair.

Pada awal 1900-an pula,  lahir  pendekar terbilang seperti Tok Dor Mejoh, Pak Wel Berani dan Tok Merah.  Mereka banyak menabur bakti dalam memburu dan menghalau perompak serta lanun yang  ada pada waktu itu.

Pada zaman pendaratan Jepun pula, kampung itu dikatakan jadi tempat perlindungan golongan hartawan yang mengelak daripada diculik dan dirompak. Banyak harta seperti emas dibawa bersama.

Diceritakan apabila tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa dan membakar stesen minyak, apinya dapat dilihat dari kampung ini.

Justeru, penduduk kampung dikerah untuk menjirus dan menyiram air ke seluruh kampung untuk mengelakkan desa itu daripada hangus terbakar.

Pengangkutan awal ketika itu pula hanyalah perahu dan rakit. Ia mewujudkan beberapa pengkalan utama seperti pengkalan Domek, pengkalan Tok Dor Mejoh, pengkalan Che Senik, pengkalan Penghulu Samad, pengkalan Wak Man, pengkalan Tangok dan pengkalan Pendekar Said.

Selain itu, suatu ketika dahulu kampung berkenaan juga terkenal dengan permainan  tradisional  seperti  kertok, rebana,  gasing, silat, boksing dan pelaga lembu.

Di sini dikatakan lahirnya rebana Tok Gajah yang  dipimpin Lebai  Dolah dan rebana Sri Payung dipimpin oleh Pak Da Harun.

Peniaga vape berisiko muflis

SAPINAH AB GHANI
7 DISEMBER 2015

KOTA BHARU – Peniaga vape di Kelantan berisiko muflis sekiranya penjualan rokok elektronik itu diharamkan di negeri ini.

Pengerusi Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid berkata, modal permulaan antara RM100,000 hingga RM800,000 yang dilaburkan peniaga untuk memulakan perniagaan vape, mungkin ‘hangus’ begitu sahaja jika pengharaman penjualannya dikuatkuasakan.

“Kami mengharapkan kerjasama kerajaan negeri untuk mempertimbangkan isu ini kerana ia akan memungkinkan peniaga berdepan kerugian besar, selain mengundang kembali masalah pengangguran dalam kalangan belia.

“Perniagaan vape di Kelantan diterokai kira-kira 99.9 peratus orang Melayu, di mana sebahagian besarnya adalah anak muda, tidak hanya berkisar kepada keuntungan, sebaliknya turut membantu menghentikan tabiat merokok,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Mohd Azlee berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi menyuarakan kebimbangan dan harapan mereka demi mempertahankan nasib peniaga vape di Kelantan.

“Kami berharap dapat mengadakan pertemuan dalam masa terdekat agar peniaga juga diberi peluang menyuarakan kehendak mereka, selain menjelaskan tentang perniagaan vape yang mungkin disalah tafsirkan dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pertubuhan itu, Nik Mohd Izafudin Shah Nik Mat berkata, pihaknya sedaya upaya akan berusaha merayu agar perniagaan vape di Kelantan dapat diteruskan demi nasib dan masa depan peniaga terlibat.

Nik Mohd Izafudin Shah yang turut berniaga vape berkata, pihaknya bimbang sekiranya tindakan pengharaman penjualan itu dikuatkuasakan, perniagaan itu akan dilakukan secara sembunyi- sembunyi yang akan menyulitkan lagi usaha mengawalnya.

Seorang lagi ahli jawatankuasa yang juga peniaga vape, Khalid Khan berkata, sehingga kini terdapat 350 peniaga vape di Kelantan dan masing- masing mempunyai pekerja sekitar 10 orang.

“Kami perlu akur jika kerajaan negeri memutuskan mengharamkan penjualan vape, namun dalam masa sama bagaimana dengan nasib 3,500 pekerja yang kembali menganggur, malah mungkin hilang punca pendapatan ekoran tindakan tersebut,” katanya.

Di Kelantan, perniagaan vape bermula sejak 2010 dan sehingga kini, hampir 50,000 penggunanya berumur antara 21 hingga 65 tahun, dan 30 peratus daripada pengguna vape telah berhenti sepenuhnya daripada penggunaan vape dan rokok.

Penuhi Citarasa Anda