Mercun, rokok RM100,000 dilupus

RANTAU PANJANG – Polis Pasir Mas melupuskan rampasan mercun, bunga api dan rokok seludup bernilai RM100,000, semalam.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, ia melibatkan rampasan lapan kes sepanjang 2016 hingga awal tahun ini.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana suspek dipercayai meninggalkan barang larangan sebelum melarikan diri.

Katanya, kes terbesar membabitkan rampasan di To’ Uban manakala selebihnya di Meranti, Bunut Susu dan Pasir Mas.

“Barang seludup dari negara jiran ini dipercayai digunakan untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan,” katanya selepas operasi pelupusan menerusi semburan air bersama pasukan Bomba di Balai Polis Rantau Panjang.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim.

Ibrahim berkata, pihaknya komited dalam membanteras penyeludupan mercun dan bunga api sebelum, ketika dan selepas Aidilfitri ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang lesen menjual mercun dan bunga api kepada peniaga.

Ibrahim turut menasihati penduduk agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan atau menjual mercun terutama ketika musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, jika didapati melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sumber : Sinar Harian

KPDNKK jamin harga lebih murah

BUKIT BUNGA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi jaminan harga lebih murah akan dinikmati pengguna jika berbelanja di dalam negara.

Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, semua barangan yang dipasarkan dalam negara dikawal satu badan khas (KPDNKK) bagi memastikan pengguna tidak terbeban dan peniaga mendapat manfaat bersama.

“Keyakinan pengguna akan beri manfaat kepada peniaga. Peniaga tawarkan barangan pada harga berpatutan, wujud konsep menang-menang dalam urus niaga di sini yang dijalankan dengan jelas dan telus.

“Di KPDNKK, kita pantau harga barangan ditawarkan peniaga. Pengguna tidak akan akan terbeban, berbelanjalah di tempat kita, murah dan dapat bantu ekonomi negara,” katanya.

Ab Ghani berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Jualan Mega 1Malaysia 2017, Pasaraya Pantai Timur Bukit Bunga di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, pihaknya sudah membuat perbandingan harga antara barangan di negara jiran dan mendapati harga ditawarkan dalam negara lebih murah.

“Kalau nak beli di Thailand, tukaran wang asing mahal. Kita dah bandingkan harga di negara jiran, di sini lebih murah. Masyarakat di sana pun beli barang di sini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran Jualan Mega 1Malaysia berkenaan, Ab Ghani berkata, ia bertujuan memastikan urus niaga dijalankan tidak membebankan pengguna.

Menurutnya, tinjauan pihaknya juga mendapati kira-kira 4,522 barangan yang terdapat di pasar raya berkenaan dijual pada harga murah dengan potongan sehingga 70 peratus.

“Pemeriksaan juga dilakukan terhadap senarai skim kawalan harga musim perayaan. Daripada 21 jenis barang yang kita kawal di sini ada 18 jenis barangan yang rata-rata dijual di bawah harga syiling,” katanya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan pasar raya itu juga lebih murah dan ia satu kelebihan kepada pengguna di sini.

Sumber: Sinar Harian

14 ditahan jual mercun, bunga api

KOTA BHARU – Tindakan penjual mercun yang secara terbuka menjual bahan larangan itu di tapak bazar Ramadan sekitar bandar ini akhirnya membawa padah apabila 14 peniaga yang menjual bahan letupan itu ditahan dalam pemeriksaan bermula 5 Jun hingga kelmarin.

Pemeriksaan dan rampasan dilakukan pada waktu perniagaan sekitar jam 4.40 petang sehingga awal pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff berkata, pihaknya bertindak melakukan pemeriksaan di 13 tempat termasuk kawasan Wakaf Che Yeh, pasar malam Parit Dalam selain sebuah rumah di Nilam Puri.

“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, kita tangkap 12 lelaki dan dua wanita yang merupakan peniaga mercun dan bunga api tanpa lesen berumur antara 17 hingga 40 tahun.

“Kita turut merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dengan nilai rampasan melebihi RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Menurutnya, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kita nasihatkan mana-mana orang awam yang hendak jalankan perniagaan mercun dan bunga api, perlulah terlebih dahulu memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sehubungan itu, pucuk pimpinan Polis Kelantan telah mengarahkan supaya pemantauan dan pemeriksaan dibuat secara berterusan.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang menjalankan kegiatan perniagaan mercun dan bunga api tanpa lesen. Bunga api dan mercun yang dibenarkan untuk dijual adalah jenis Pop-pop dan Happy Bom/ Magic Pop.

“Kita nasihatkan orang ramai mematuhi peraturan dan undang-undang untuk menjaga keselamatan dan mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku dengan permainan mercun,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Enam lokasi berisiko kemalangan dipantau

GUA MUSANG – Polis Kelantan akan membuat pemantauan di enam lokasi merbahaya di tiga jalan utama di Kelantan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata lokasi itu membabitkan  Kilometer (KM) 311.1 dan 318.5 Jalan Kuala Krai – Gua Musang, KM 732 Jalan Rantau Panjang – Pasir Mas dekat Lubok Jong.

Selain itu, di KM 290.2 Jalan Tanah Merah – Pasir Puteh hadapan JKR Machang, KM 37 Jalan Kota Bharu – Terengganu, KM 16.2 dan 16.8 Jalan Panglima Bayu – Rantau Panjang – Jeram Perdah.

“Kesemua lokasi itu akan dipantau anggota polis peronda supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat  yang bermula semalam (18 Jun) hingga 2 Julai depan, sempena Hari Raya 2017 di Hentian Gua Musang di Kampung Tanah Puteh  sini, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mahasan Mustafa dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail.

“Selain itu, anggota polis juga akan melakukan rondaan di kawasan kediaman penduduk yang pulang beraya di kampung bagi menangani kes pecah rumah.

“Bagaimanapun kita mahu penduduk yang ingin pulang ke kampung menyambut hari raya supaya mengisi borang keselamatan rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran,” katanya sambil menambah ia bagi memudahkan anggota yang membuat rondaan memantau kawasan penempatan terbabit.

“Musim perayaan sudah tentu terdedah kepada peluang kejadian jenayah khusus pecah rumah dan kita harap penduduk memberi kerjasama bagi memastikan semua kediaman selamat,” katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

1,000 hadir ke Masjid Muhammadi sertai program

 

KOTA BHARU – Lebih 1,000 hadir pada program Malaysia #Quranhour di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Wariasan Ummah Ikhlas (WUI) turut dijalankan di beberapa hotspot termasuk Rumah Ngaji di seluruh daerah, hospital, kedai dan kediaman individu.

Majlis bacaan al-Quran secara serentak di seluruh Malaysia itu yang dijalankan di masjid terbabit turut dihadiri Timbalan Yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Islam Melayu Kelantan (MAIK), Dr. Nik Mohd. Azlan Ab. Hadi dan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Datuk Mejar (B) Adnan Hashim.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan al-Baqarah ayat 1-5 yang dipimpin oleh pelajar Mahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai, Ahmad Arif Hanif Juhari.

Hadirin yang berada dalam masjid itu kemudiannya meneruskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara serentak selama sejam dan majlis berakhir dengan bacaan doa.

KOTA BHARU – Lebih 1,000 hadir pada program Malaysia #Quranhour di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Wariasan Ummah Ikhlas (WUI) turut dijalankan di beberapa hotspot termasuk Rumah Ngaji di seluruh daerah, hospital, kedai dan kediaman individu.

Majlis bacaan al-Quran secara serentak di seluruh Malaysia itu yang dijalankan di masjid terbabit turut dihadiri Timbalan Yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Islam Melayu Kelantan (MAIK), Dr. Nik Mohd. Azlan Ab. Hadi dan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Datuk Mejar (B) Adnan Hashim.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan al-Baqarah ayat 1-5 yang dipimpin oleh pelajar Mahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai, Ahmad Arif Hanif Juhari.

Hadirin yang berada dalam masjid itu kemudiannya meneruskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara serentak selama sejam dan majlis berakhir dengan bacaan doa.

Sumber: Sinar Harian

Berjaya hafaz 28 juzuk al-Quran

BUKAN mudah untuk menjadi seorang hafiz, perlu menjaga tertib dan pelbagai perkara termasuk perilaku dan pemakanan.

Bagi seorang anak yatim dari Kampung Sungai, Bachok, minatnya untuk mendalami ilmu agama sejak di bangku sekolah rendah menjadi pendorongnya.

Ahmad Arif Hanif Juhari, 15, anak keempat daripada lima beradik ini tidak kekok meninggalkan segala kelaziman hidup sebelum ini semata-mata untuk mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai, sejak usia 11 tahun.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk ini meninggalkan alam persekolahan aliran biasa untuk mengejar cita-citanya belajar agama ke Timur Tengah.

Katanya, walaupun untuk memasuki sekolah tahfiz agak ketat dengan tiga siri ujian, dia dapat melepasinya dan kini sudah menghafaz 28 juzuk al-Quran.

“Semua perkara perlu dijaga termasuk pergaulan dan pemakanan. Saya tak boleh makan sesuka hati di luar sebab makanan yang jadi darah daging akan mempengaruhi hati dan minda kita.

“Kalau balik kampung pun tak lama, tiga empat kali saja setahun tak termasuk waktu outing dua minggu sekali. Outing pula hanya sehari.

“Saya akan balik kampung kalau rasa rindu sangat dengan mak. Tambahan pula mak tinggal seorang diri sekarang selepas adik saya (Ahmad Hakim, 13) juga belajar di maahad ini,” katanya.

Sering jadi imam tarawih, solat jemaah

Menjelang Ramadan setiap tahun, Ahmad Arif antara pelajar yang menjadi rebutan untuk dipinjamkan sebagai imam di masjid-masjid seluruh negeri termasuk di Terengganu.

Difahamkan, baru-baru ini dia pernah ditawarkan untuk bertugas di sebuah masjid di Kuala Besut untuk menjadi imam tarawih, namun permintaan itu terpaksa ditolak oleh ustaznya memandangkan dia mempunyai banyak aktiviti di maahad tahfiz berkenaan.

“Saya tak kisah jadi imam di mana-mana saja tapi perlu melalui ustaz sebab jadual kami agak padat dengan pelbagai aktiviti.

“Saya mula jadi imam solat jemaah sejak di sekolah rendah lagi ketika kelas fardu ain. Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah kendalikan sebarang solat berjemaah.

“Kita perlu yakin dan tawakal kepada ALLAH SWT ketika menggalas tanggungjawab sebagai imam solat,” katanya yang kehilangan bapa sejak 11 tahun lalu.

Belajar pelbagai kemahiran

Berkongsi mengenai aktivitinya sebagai pengajar kelas al-Quran, Ahmad Arif berkata, usia muda sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk belajar al-Quran.

Katanya, apabila usia telah meningkat, keupayaan seseorang untuk menelaah terbatas sama ada dari segi sebutan dan penglihatan.

“Alhamdulillah kini saya dah hafaz 28 juzuk. Di sini kami diajar pelbagai kemahiran berbeza. Jika saya azan, kawan-kawan lain akan iqamat, baca doa dan imamkan solat.

“Ia untuk membolehkan kami merasai sendiri pengalaman itu sebelum bersedia keluar menjadi imam solat. Dalam sibuk kami menelaah pelajaran, dalam masa sama kami juga terlibat dengan sukan yang penting untuk kecergasan fizikal,” katanya,

Ibu sokong minat anak

Sementara itu ibunya, Aminah Mat, 48, berkata, dia tidak pernah menyekat minat dua anaknya untuk mendalami ilmu agama.

Katanya, dia bertuah kerana di maahad tahfiz itu, anaknya ditanggung sepenuhnya pihak maahad termasuk pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran.

“Adakala kalau saya rindu anak-anak, saya akan naik kereta sewa ke Kuala Krai. Walaupun bukan orang senang tapi saya tak kisah berhabis RM100 untuk bayar tambang ke sana demi lihat anak depan mata.

“Saya bersyukur mereka minat ilmu agama dan sentiasa berdoa supaya mereka berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air kelak,” katanya.

Ahmad Arif adalah rakan sekampung dengan pelajar tahfiz, Muhamad Rahman Rozali, 17, yang meninggal dunia dalam tragedi kemalangan tujuh hufaz di Kuala Krai baru-baru ini.

Dia turut mengiringi jenazah sahabatnya itu ketika disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai.

Ahmad Arif juga pernah dinobatkan qari terbaik keseluruhan Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak tahun 2015.

Sumber: Sinar Harian

Al-Quran bentuk integriti kerja

KOTA BHARU – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakui al-Quran bukan sahaja memberi petunjuk kepada umat, malah menerusinya, banyak perkara melibatkan pekerjaan boleh dijadikan panduan.

Perkara tersebut diakui Pengurus Besar TNB Negeri, Datuk Ir Md Yuslan Md Yusof yang mahu kira-kira 1,500 kakitangannya menyertai Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) pada Isnin ini.

“Al-Quran diturunkan pada Ramadan untuk dijadikan pedoman kepada umat manusia dan TNB berharap semoga dengan kehadiran bulan al-Quran, ia memberi anjakan paradigma  untuk kakitangan bekerja dengan lebih baik.

“Kita jadikan kerja di TNB ini sebagai satu ibadah jariah di negeri abadi, malah warga kerja diminta menjadikan al-Quran sebagai petunjuk bagi membentuk kerja lebih berintegriti, berdedikasi dan berdisiplin,” katanya.

Md Yuslan berkata, sebagai pekerja, al-Quran juga dijadikan panduan semasa memikul tanggung jawab diberikan kerana di dalamnya terkandung hukuman dan petunjuk.

“Kalau mereka mempunyai masalah, rujuklah al-Quran sebagai pedoman. Dalam usaha memartabatkan al-Quran ini, TNB mempunyai Persatuan Kebajikan Pekerja Islam di seluruh Kelantan yang menganjurkan sesi membaca al-Quran pada waktu rehat iaitu dari jam 1 petang hingga 2 petang di semua stesen.

“Kami menyokong penuh Program #QuranHour kerana ia satu langkah baik dalam mengingatkan semua umat Islam agar sentiasa memberi lebih perhatian kepada al-Quran, sekali gus menyuluh  kita menuju ke jalan ALLAH SWT,” katanya.

Sumber: SInar Harian

GRO tergamam kena serbu

KOTA BHARU – Sekumpulan pelayan pelanggan (GRO) yang sedang asyik melayan pelanggan masing-masing di sebuah restoran di Gua Musang di sini, tergamam selepas diserbu penguatkuasa Imigresen Kelantan kira-kira jam 12 malam kelmarin.

Serbuan itu dilakukan 13 anggota termasuk pegawai kanan, hasil risikan dan maklumat yang diterima.

Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya turut memeriksa 11 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Mereka terdiri daripada dua wanita Thailand, lapan Laos, dan satu Vietnam selain turut menahan seorang warga Malaysia yang merupakan pemilik premis itu.

“Serbuan ini dilakukan selepas pemilik premis itu masih berdegil dan menyediakan khidmat GRO di restorannya bagi menarik pelanggan.

“Pada kebiasaannya, pelanggan merupakan penduduk sekitar atau pekerja asing di kawasan rumah kongsi yang ingin mencari hiburan,” katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua Pati berkenaan berusia antara 19 hingga 27 tahun.

“Mereka ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai visa perjalanan yang sah. Kes disiasat di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pemilik premis itu juga ditahan dan bakal berdepan hukuman kompaun RM5,000 untuk caj terhadap seorang GRO yang dilindungi, selain boleh dikenakan penjara atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan warga asing itu dibawa ke depot tahanan Tanah Merah dan ditahan di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan warga tempatan itu diberikan jaminan polis untuk siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

‘Lepas orang, giliran kita pula’

MACHANG – Allahyarham Abdullah Yassin, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di Labok kelmarin seakan sudah merasai ajalnya semakin dekat.

Warga emas berusia 68 tahun yang tinggal di Kampung Bunut Tok Mek Teh itu dikatakan beberapa kali membicarakan soal kematian dengan isterinya, Nemas Long Hamat dan kakaknya, Keltom Yassin.

Nemas berkata, sebelum terbabit dalam kemalangan itu, Allahyarham dilihat berubah sikap dan banyak berdiam diri.

“Arwah sebelum ini banyak cakap tetapi kurang mesra sejak kebelakangan ini. Dia juga ada menyebut beberapa tragedi kemalangan membabitkan kematian di Kelantan.

“Dia kata, orang lain sudah (meninggal), lepas ni giliran kita pula,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal menuju ke sebuah kedai untuk membeli sayur dikatakan melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Machang kira-kira jam 8.30 malam ketika mendapatkan rawatan.

Mangsa juga merupakan bapa sudara kepada Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman.

Sementara itu Keltom berkata, dalam perbualan mereka sebelum ini, arwah seringkali menyebut dia akan pergi dahulu walaupun tidak ada penyakit.

“Ketika melawat mak cik di hospital baru-baru ini arwah sebut dia akan pergi (meninggal dunia) dulu, walaupun saya yang kurang sihat. Kami anggap itu hanya gurauan, rupanya ia jadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira empat jam kemudian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber sinar harian

Masalah banjir bakal selesai

TUMPAT – Projek pembinaan tebatan banjir yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion dapat menyelesaikan masalah banjir di sepanjang Sungai Golok apabila siap nanti.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, kerja-kerja pengukuhan tebing sungai Golok ketika ini sedang dijalankan dan sebahagian besarnya sudah siap.

“Pembinaan tebatan banjir ini membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama di hilir Lembangan Sungai Golok di Tumpat dan Pasir Mas.

“Bagi fasa kedua dan ketiga membabitkan jajahan di Tanah Merah serta Jeli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke sempadan antarabangsa Malaysia – Thailand di Pengakalan Kubor di sini, semalam.

Pembinaan tebatan banjir dilaksanakan menerusi projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) yang akan menyelesaikan masalah banjir penduduk di sekitar Sungai Golok terutama di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Hamim berkata, kerja-kerja pengukuhan tebing ini dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan lapisan lindung batu melibatkan laluan sepanjang 96.62 kilometer daripada jumlah penuh 106 kilometer.

Menurutnya, kerja ukur sempadan di Sungai Golok sepanjang 168 kilometer sudah siap sepenuhnya bagi tujuan pembinaan benteng tebatan banjir.

Katanya, kerja ukur tanah dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bersama kerajaan Thailand.

Sumber: Sinar Harian

Penuhi Citarasa Anda