Sinar Harian

Masalah banjir bakal selesai

TUMPAT – Projek pembinaan tebatan banjir yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion dapat menyelesaikan masalah banjir di sepanjang Sungai Golok apabila siap nanti.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, kerja-kerja pengukuhan tebing sungai Golok ketika ini sedang dijalankan dan sebahagian besarnya sudah siap.

“Pembinaan tebatan banjir ini membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama di hilir Lembangan Sungai Golok di Tumpat dan Pasir Mas.

“Bagi fasa kedua dan ketiga membabitkan jajahan di Tanah Merah serta Jeli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke sempadan antarabangsa Malaysia – Thailand di Pengakalan Kubor di sini, semalam.

Pembinaan tebatan banjir dilaksanakan menerusi projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) yang akan menyelesaikan masalah banjir penduduk di sekitar Sungai Golok terutama di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Hamim berkata, kerja-kerja pengukuhan tebing ini dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan lapisan lindung batu melibatkan laluan sepanjang 96.62 kilometer daripada jumlah penuh 106 kilometer.

Menurutnya, kerja ukur sempadan di Sungai Golok sepanjang 168 kilometer sudah siap sepenuhnya bagi tujuan pembinaan benteng tebatan banjir.

Katanya, kerja ukur tanah dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bersama kerajaan Thailand.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *