image

Mangsa banjir terpaksa berlapar

RANTAU PANJANG – Sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM) tidak dapat menahan sebak apabila beberapa kanak-kanak di salah satu pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, meminta ubat tahan lapar daripada kakitangan perubatan yang datang bersama IRM, empat hari lalu.

Koordinator Bilik Gerakan Kecemasan (BGK) IRM Rantau Panjang, Ab Aziz Hussain berkata, difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku berikutan ada pihak mendakwa beras dan bekalan makanan di PPS terbabit habis.

Menurut beliau, insiden pada hari kelima banjir itu tidak sepatutnya berlaku kerana ketika itu masih ramai mangsa banjir tidak pulang ke rumah kerana paras air di Sungai Golok di paras bahaya, iaitu 10.36 meter.

“Kami sepatutnya datang ke sini sebagai pasukan sokongan bagi menambah baik keperluan sedia ada, antaranya membawa pasukan perubatan dan lain-lain keperluan yang difikirkan perlu.

“Tapi kami kecewa, pihak berkenaan menyalahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan mendakwa bekalan makanan habis pemeriksaan di stor bekalan, masih banyak beras, roti dan tepung tidak terusik,” katanya.

Katanya, disebabkan salah faham sedemikian menyebabkan penduduk serik berpindah ke PPS.

Menurutnya, jika penduduk enggan berpindah, mereka akan disalahkan sedangkan insiden seumpama ini tidak sepatutnya berlaku.

“Gelombang pertama banjir yang tak seberapa ini pun dah ada kelemahan, macam mana nak tangani mangsa lebih ramai jika berlaku banjir besar seperti 2014 lalu.

“Saya harap penduduk dapat melantik jawatankuasa yang lebih bertanggungjawab dalam menguruskan keperluan mangsa di sini,” katanya.

Beliau berharap insiden seperti ini tidak berulang dan jawatankuasa bencana di peringkat PPS dapat bekerjasama untuk memasak bekalan untuk mangsa banjir kerana semua keperluan tersedia lebih awal.

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *