image (24)

Malam terus diburu resah

JEDOK – Pasangan suami isteri di sini terus diburu keresahan selepas kali kedua dikunjungi gajah liar kira-kira jam 5.20 pagi semalam.

Kunjungan kali kedua itu disedari Zakaria Yusoff, 48, yang bertindak menghalau haiwan berkenaan yang ketika itu berada kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Zakaria yang juga seorang guru berkata, ketika terjaga kira-kira jam 5.20 pagi, dia terdengar bunyi mencurigakan sebelum bertindak mengesan puncanya.

“Bila buka tingkap, saya tengok sekeliling, masih gelap, tapi di sudut tempat gajah berkenaan agak terang. Memang petua orang tua-tua gajah akan nampak sedikit terang dalam gelap.

“Bila saya halakan cahaya lampu picit, gajah yang asyik makan pucuk kelapa yang ditumbangkan sebelum itu mula berundur,” katanya semalam.

Katanya, dia cuba menakut-nakutkan gajah berkenaan dengan jeritan kuat menyebabkan mamalia tersebut lari meninggalkan kawasan kebunnya.

“Sebatang lagi pokok kelapa saya tumbang, pagar juga rosak sebab jadi laluan gajah berkenaan untuk selamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia percaya lebih banyak tanaman penduduk akan menjadi mangsa jika haiwan berkenaan terus berkeliaran di kawasan tersebut.

Katanya, kira-kira empat hektar tanaman penduduk terdapat di sekitar kawasan berkenaan dan kesemuanya berdepan risiko sama.

“Gajah ini memang tiap hujung tahun akan muncul di sini, tapi tahun ini dia mula datang dekat hingga ke kawasan kediaman, sebelum ini setakat di hutan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perhilitan Daerah, Mohd Ismail Awang berkata, tinjauan ke lokasi kejadian mendapati gajah terbabit telah meninggalkan lokasi berkenaan.

“Kita sudah jejaki gajah dimaksudkan, dan berdasarkan kesan ditinggalkan, ia telah keluar dari kebun penduduk dan masuk ke hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan bagi memastikan ia benar-benar telah meninggalkan kawasan tersebut.

“Tengok pada perkembangan lepas ni, kalau ada kita jejak balik gajah itu,”  katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *