image (1)

Luka kecil beri impak besar

KUALA KRAI – Tiada siapa sangka kemalangan yang hanya menyebabkan luka kecil pada lutut dua tahun lalu bakal memberikan kesan besar dalam hidup seorang gadis di sini.

Nor Fatihah Mohd Asri, 23, dari Telekong, terlibat kemalangan ketika keluar seketika dari tempat kerja di Kampung Gatal untuk membeli ubat dikirim ibunya, Roshana Kadir, 39, di sebuah farmasi di Kuala Krai.

Nor Fatihah berkata, ketika kejadian, dia melanggar sebuah kereta dan menyebabkan lutut kirinya cedera.

Tambahnya, lutut kirinya mula membengkak selepas tiga hari kemalangan.

“Doktor beritahu lutut kiri perlu dibedah dengan kos RM6,000, tapi kami tak mampu. Ayah saya (Mohd Asri Hamat, 45) yang kerja bawak lori banyak keluarkan duit untuk biayai rawatan saya sebelum itu.

“Selepas tiga hari, lutut bengkak, saya ke hospital tapi doktor minta ke Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai untuk buat X-ray, seterusnya saya diberitahu pelapik lutut pecah dan dirujuk ke doktor pakar,” katanya.

Katanya, pada 24 November tahun lalu dia menjalani satu pembedahan membuang pelapik lututnya.

“Setiap tiga bulan bahagian lutut saya perlu dimasukkan ubat berbentuk cecair, yang perlukan bayaran RM800.

“Kos perubatan ayah yang tanggung, tapi disebabkan banyak kali masuk ubat, ayah tak mampu dah sebab simpanannya makin susut, emak (Roshana Kadir) pula suri rumah,” katanya.

Nor Fatihah berkata, ayahnya masih mempunyai tanggungjawab menyara enam adiknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, masalah kesihatan dihadapi selepas kemalangan itu menyebabkan dia kerap cuti.

“Bila lutut sakit, saya hanya mampu baring. Lepas pulih baru saya kembali semula menyambung tugas seperti biasa,” katanya.

Katanya, bagi meringankan beban ditanggung bapanya dia telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya harap permohonan akan diluluskan seterusnya meringankan beban ayah,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *