image (15)

‘Lepas orang, giliran kita pula’

MACHANG – Allahyarham Abdullah Yassin, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di Labok kelmarin seakan sudah merasai ajalnya semakin dekat.

Warga emas berusia 68 tahun yang tinggal di Kampung Bunut Tok Mek Teh itu dikatakan beberapa kali membicarakan soal kematian dengan isterinya, Nemas Long Hamat dan kakaknya, Keltom Yassin.

Nemas berkata, sebelum terbabit dalam kemalangan itu, Allahyarham dilihat berubah sikap dan banyak berdiam diri.

“Arwah sebelum ini banyak cakap tetapi kurang mesra sejak kebelakangan ini. Dia juga ada menyebut beberapa tragedi kemalangan membabitkan kematian di Kelantan.

“Dia kata, orang lain sudah (meninggal), lepas ni giliran kita pula,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal menuju ke sebuah kedai untuk membeli sayur dikatakan melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Machang kira-kira jam 8.30 malam ketika mendapatkan rawatan.

Mangsa juga merupakan bapa sudara kepada Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman.

Sementara itu Keltom berkata, dalam perbualan mereka sebelum ini, arwah seringkali menyebut dia akan pergi dahulu walaupun tidak ada penyakit.

“Ketika melawat mak cik di hospital baru-baru ini arwah sebut dia akan pergi (meninggal dunia) dulu, walaupun saya yang kurang sihat. Kami anggap itu hanya gurauan, rupanya ia jadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira empat jam kemudian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *