image (1)

Jadi lokasi aktiviti tak sihat

PASIR PUTEH – Penduduk dan pengunjung kawasan pendaratan ikan Tok Bali, dekat sini, meminta pihak berkenaan menghidupkan semula bazar yang terbiar sejak lebih lima tahun lalu.

Wakil penduduk, Khairuddin Abdullah, 44, berkata, suatu ketika dulu kawasan itu pernah menjadi tumpuan kerana terdapat restoran dan tempat rehat yang selesa.

Katanya, bagaimanapun kawasan itu kini terbiar begitu sahaja sehingga dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab, terutama pada waktu malam untuk melakukan aktiviti tidak sihat.

“Saya difahamkan kawasan itu di bawah pengurusan Perbadanan Kerajaan Negeri Kelantan (PKINK) tetapi tidak ada pihak yang berjaya membangunkannya sehingga mencetuskan tanda tanya pengunjung.

“Kawasan ini cantik sebenarnya tapi sayang ia terbiar sekarang, wakaf-wakaf yang dibina hanya menjadi tempat nelayan asing berteduh sepanjang berlabuh di jeti berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.’

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila tandas dan surau di kawasan berkenaan tidak lagi menyediakan bekalan air bersih yang memberi kesulitan kepada pengunjung menggunakan kemudahan tersebut.

Katanya, dari pemerhatiannya, surau kini dalam keadaan berhabuk dan tandas tidak terurus sedangkan pengunjung amat memerlukan kemudahan itu.

“Mungkin lebih baik kawasan itu diserahkan kepada pihak lain yang mampu menguruskannya sehingga kembali menjadi kawasan tumpuan ramai, kami penduduk nak tengok kawasan ini ceria,” katanya.

Khairuddin berkata, Kedai Rakyat 1Malaysia yang terletak berhampiran lokasi berkenaan turut ditutup sejak empat tahun lalu, sekali gus menyebabkan kawasan itu kini suram.

“Dulu ada pasar ikan tapi akhirnya tutup kerana kurang pengunjung. Jadi perlu ada tindakan supaya tempat ini jadi menarik.

“Kos pembinaan bazar ni bukan sikit tapi ia jadi projek merugikan. Oleh itu saya berharap kerajaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya dengan memberi nafas baru,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *