image(15)

‘Ingatkan orang bakar sampah’

KOTA BHARU – Bunyi letupan yang disangka berpunca dari kawasan tempat pembakaran sampah, akhirnya memusnahkan dua rumah kayu di Lundang, di sini, semalam.

Mangsa, Azira Azhari, 23, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi letupan seperti botol pecah yang disangka dari tempat bakar sampah dan ada orang yang sedang membakarnya.

“Masa tu saya tak nampak api mula dari mana, sehinggalah diberitahu orang kampung rumah jiran sebelah terbakar dan merebak terus ke rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Azira berkata, melihatkan keadaan api semakin marak dan merebak dari bahagian dapur, dia bersama ibu dan dua adiknya terus menyelamatkan diri keluar melalui pintu depan.

“Mujur kami dapat selamatkan diri, tapi semua barangan dalam rumah dan harta benda tak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Siti Noraiza Junoh, 41, berkata, dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Lundang sebagai guru Kelas Fardu Ain (Kafa) hanya menyedari kejadian itu selepas terlihat asap tebal di udara ketika berada di sekolah.

“Saya rasa tak sedap hati dan minta diri untuk pulang. Terkejut bila lihat rumah yang saya sewa bersama suami dan menetap dengan anak-anak musnah sekelip mata.

“Memang sebelum kejadian, saya tinggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci dan terus ke sekolah pagi semalam.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tak dapat selamatkan semua barang. Sekarang memang tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.36 petang.

“Kita bersama dua jentera dari Kota Bharu dengan kekuatan 24 anggota ke tempat kejadian bersama pegawai operasi, Che Mazlan Mohamed.

“Semasa kami sampai, kebakaran menyebabkan kemusnahan 80 peratus rumah kayu yang rapat dan cuaca pada ketika itu juga panas serta berangin,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan dua lagi kediaman berhampiran termasuk sebuah dewan orang ramai.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan berhubung punca dan jumlah kerugian,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *