image

Ikan siakap ‘lemas’ banjir dilelong

TUMPAT – Penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh terpaksa melelong ikan siakap murah-murah apabila ribuan ekor ikan mati mengejut akibat banjir.

Musibah itu yang berulang saban tahun setiap kali  banjir menyebabkan 93 penternak di situ resah dan khuatir menanggung kerugian jutaan ringgit.

Penternak, Razali Seman, 50, berkata, lima petak sangkar melibatkan kira-kira 2,500 ekor ikan mati  akibat banjir.

Katanya, bagi mengelakkan kerugian besar, dia terpaksa melelong ikannya murah-murah dengan harga RM13 sekilogram.

Menurutnya, dia menyedari ikannya mula timbul di permukaan sangkar kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Berlaku lagi ribuan ikan siakap yang nyawa-nyawa ikan timbul dipermukaan.

“Banjir bulan Januari lalu, saya lelong juga ikan, hari ini kena lelong lagi,” katanya.

Menurutnya, setakat ini 500 kilogram ikan siakap dijual sejak semalam dan menjangkakan akan habis dijual hari ini.

Lelongan  ikan siakap pelbagai saiz itu menyebabkan jeti ikan di laguna Sri Tujoh diserbu orang ramai sejak petang semalam.

Tindakan penternak di sini melelong ikan bagi mengelakkan kerugian yang besar kerana menjangkakan banyak lagi ikan akan mati.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh, Mohd Saifullah berkata, setiap kali selepas banjir, penternak di sini akan berdepan masalah tersebut.

Katanya, tiga dari 93 pertenak ikan siakap di Laguna Sri Tujoh terjejas teruk apabila dianggarkan hampir satu tan ikannya mati.

“Punca ikan mati akibat masalah  air tercemar dan kekurangan oksigen.

” Air dari daratan selepas banjir  yang mengandungi kelodak mengalir ke tali air dan seterusnya masuk ke laguna ini,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *