Sinar Harian

GRO tergamam kena serbu

KOTA BHARU – Sekumpulan pelayan pelanggan (GRO) yang sedang asyik melayan pelanggan masing-masing di sebuah restoran di Gua Musang di sini, tergamam selepas diserbu penguatkuasa Imigresen Kelantan kira-kira jam 12 malam kelmarin.

Serbuan itu dilakukan 13 anggota termasuk pegawai kanan, hasil risikan dan maklumat yang diterima.

Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya turut memeriksa 11 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Mereka terdiri daripada dua wanita Thailand, lapan Laos, dan satu Vietnam selain turut menahan seorang warga Malaysia yang merupakan pemilik premis itu.

“Serbuan ini dilakukan selepas pemilik premis itu masih berdegil dan menyediakan khidmat GRO di restorannya bagi menarik pelanggan.

“Pada kebiasaannya, pelanggan merupakan penduduk sekitar atau pekerja asing di kawasan rumah kongsi yang ingin mencari hiburan,” katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua Pati berkenaan berusia antara 19 hingga 27 tahun.

“Mereka ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai visa perjalanan yang sah. Kes disiasat di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pemilik premis itu juga ditahan dan bakal berdepan hukuman kompaun RM5,000 untuk caj terhadap seorang GRO yang dilindungi, selain boleh dikenakan penjara atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan warga asing itu dibawa ke depot tahanan Tanah Merah dan ditahan di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan warga tempatan itu diberikan jaminan polis untuk siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *