image (2)

‘Eting jaga rumah kami’

PASIR MAS – Seorang warga emas sanggup berulang alik setiap hari dari pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas ke rumahnya di Kampung Kolam dengan meredah banjir paras dada semata-mata mahu memberikan makan kepada beruk peliharaannya yang diberi nama Eting.

Walaupun berdepan bahaya kerana perlu mengharungi arus deras sepanjang empat kilometer untuk sampai ke rumahnya, Awang Mamat, 60, sanggup mengetepikan bahaya tersebut demi beruk kesayangannya.

“Eting mana boleh pindah, dia kena jaga rumah kami.

“Bukan kami tak mahu bawa Eting bersama tapi ia lebih seronok tinggal di rumah.

“Lagipun Eting seekor beruk yang bijak. Dia tahu air banjir dalam dan sudah biasa dengan keadaan itu,” katanya.

Awang berkata, setiap hari dia akan pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada Eting tidak kira bagaimana keadaan cuaca pada waktu itu.

Katanya, selain hantar makanan dia juga mahu memastikan Eting berada dalam keadaan sihat.

“Pakcik dan keluarga sayang Eting sangat-sangat.

“Eting banyak jasa kepada pakcik dan keluarga. Sudah 10 tahun Eting petik kelapa dan duit itulah pakcik gunakan untuk sara keluarga.

“Jadi tak salah pakcik berkorban demi Eting setiap kali banjir,” katanya.

Awang dan isterinya Bunga Hussien, 56, sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam begitu gembira dapat melihat Eting berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, kawasan rumah Awang masih digenangi air Sungai Golok yang belum surut sepenuhnya.

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *