image(15)

Elak anak terlibat jenayah seksual

KOTA BHARU – Masyarakat perlu bertanggungjawab dan menyokong usaha dilakukan Pertubuhan Ikram (Ikram) Malaysia dalam menangani jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram  Pusat (Ikram), Dr Hafidzah Mustakim berkata, banyak jenayah seksual ke atas kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dipercayai dan terdekat dengan kanak-kanak.

Dr Hafidzah berkata, jenayah seksual sekarang lebih teruk dan mudah berlaku disebabkan sumber pornografi itu boleh didapati di hujung jari sahaja.

“Apa yang berlaku di Malaysia ini, tidak mustahil berlaku di Kelantan sebab selagi ada internet sumber-sumber seks ini boleh diperoleh dengan mudah. Ibu bapa kena berhati-hati.

“Macam saya sebut tadi ada satu kes berlaku di sebuah tadika di daerah ini  apabila seorang kanak-kanak datang dalam keadaan jalan terkangkang.

“Apabila disiasat dia terlibat dengan penderaan seksual yang dilakukan  datuk tirinya. Jadi semua pihak kena ambil tahu  dengan keadaan sekeliling supaya kita dapat mengatasinya dengan cepat,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan Malaysians Against Pornography peringkat negeri Kelantan yang turut dihadiri Ketua Wanita Ikram Kelantan, Dr Norhani Abd Rani.

Majlis tersebut melibatkan lebih 40 peserta mewakili 25 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di sini semalam.

Dr Hafidzah juga berkata, satu contoh lain yang berlaku di negeri ini baru-baru ini ialah seorang pelajar berusia tujuh tahun diliwat oleh budak lelaki berusia 11 tahun ketika mengikuti kem cuti sekolah.

“Lebih teruk lagi apabila mangsa itu pula cuba melakukan perkara sama di sekolah dan  menunjukkan kemaluannya kepada rakan-rakan di sekolah.

“Sebab itulah kita minta ibu bapa mengawal aktiviti anak-anak terutama apabila menggunakan internet kerana secara tidak sengaja boleh mencetuskan kepada perlakuan perkara tidak sihat,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *