image(14)

Cubaan seludup mercun gagal

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan cubaan menyeludup mercun dan bunga api dalam serbuan di Pangkalan Haram Zulkifli di Kampung Simpangan malam tadi.

Serbuan itu dilakukan pada jam 9.30 malam hasil intipan dan untuk masuk ke pangkalan haram itu perlu memanjat dinding pagar setinggi empat meter.

Pegawai Pemerintah  PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, ketika serbuan dilakukan sekumpulan penyeludup sedang memunggah kotak ke dalam dua buah lori Isuzu yang sedang menunggu di pangkalan tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, mereka bertindak terjun sungai Golok dan menghilangkan diri dalam semak tebing sungai tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor pagi ini.

Ahmad Amri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit menemui 76 kotak dengan 41 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenis.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM280,000 termasuk dua buah lori terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mercun ini untuk pasaran tempatan yang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *