Category Archives: Berita Sinar

Mangsa kebakaran tagih janji

BUKIT TOK ALI – Meskipun sudah memiliki rumah sendiri yang dibina dengan bantuan penduduk kampung, namun seorang pemuda di sini, masih menagih janji pihak bertanggungjawab untuk mendapatkan rumah lebih selesa.

Anuar Nordin, 35 berkata, sembilan bulan dia menunggu untuk mendapatkan rumah baharu sebagaimana dijanjikan pihak berkenaan selepas rumah didiami sebelum ini musnah dalam kebakaran, Januari lalu.

“Rumah ini siap sebulan lalu, penduduk sepakat bantu bina secara gotong-royong mungkin bersimpati tengok saya yang hanya berlindung di bahagian dapur,” katanya.

Anuar yang juga anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jeli berkata, walaupun banyak barangan keperluan disumbangkan orang ramai, namun kira-kira RM10,000 juga dihabiskan untuk membina rumah itu.

Bagaimanapun menurutnya, rumah itu terlalu kecil buat keluarganya kerana ada ketikanya ia menjadi tempat berkumpul mereka sekeluarga.


Anuar berada di hadapan rumah yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

“Walaupun kini saya tinggal sendirian, tapi kalau cuti sekolah atau hari raya rumah peninggalan orang tua kami ini akan jadi tempat kami adik-beradik berkumpul,” katanya.

Anuar berkata, dia dijanjikan akan mendapat rumah baharu selepas Aidilfitri, baru-baru ini bagaimanapun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda berpihak padanya.

“Saya dah buntu, tak tahu nak dapatkan bantuan daripada siapa, saya dah rujuk pihak berkenaan tapi jawapan mengecewakan,” katanya.

Dia berharap, pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan rumahnya kerana agak mustahil untuk dia membina sendiri.

“Saya hanya kerja sukarela, agak mustahil untuk bina sendiri kerana elaun hanya cukup-cukup makan,” katanya.

Dalam kejadian 4.30 petang 15 Januari lalu, Anuar bukan sahaja kehilangan rumah malah kereta dan van miliknya turut musnah selain 11 komputer dengan anggaran kerugian kira-kira RM100,000.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dun Kuala Balah, Rodzi Mohamad berkata, peruntukan untuk membina rumah mangsa diluluskan.

Bagaimanapun katanya, pembinaan ditangguhkan sehingga mangsa mendapat kebenaran bertulis daripada pemilik tanah.

“Tanah berkenaan bukan milik mangsa, kita minta mangsa dapatkan kebenaran yang disahkan pihak berkaitan bagi membolehkan projek membina rumah berkenaan diteruskan,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Belalang tetap ada pembeli

PASIR PUTEH – Walaupun kelompok pembeli belalang tidak besar, peniaga Pasar Besar Pasir Puteh di sini, tetap menjualnya bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.

Bidah Abdullah, 55, berkata, walaupun kumpulan penggemarnya agak kecil, dia sekurang-kurangnya tidak perlu berdepan saingan besar kerana hanya segelintir peniaga yang menjualnya.

Katanya, belalang yang lazimnya dijual pada harga RM5 untuk 100 gram itu diterimanya daripada pembekal tempatan yang membelinya daripada pencari belalang di kampung-kampung.

“Orang ‘lama’ suka makan belalang ni, mereka pasti akan datang membeli di pasar ini apabila tiba musimnya kerana belalang ini bukannya ada sepanjang masa.

“Kebanyakan yang datang membeli belalang ini orang sama, mereka tahu bila tiba musim, makcik akan menjualnya,” katanya yang berniaga di pasar tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.

Selain di Pasar Besar Pasir Puteh, belalang turut dijual di pasar malam dan pasar minggu di bandar ini dan terdapat kedai makan di kampung yang menawarkan menu kerutuk belalang serta belalang goreng berempah kepada pelanggan.

Bidah berkata, belalang sememangnya tidak sukar diperoleh jika kena dengan musim tetapi tidak ramai yang sanggup mencarinya kerana lazimnya mereka mesti ke kawasan bendang pada waktu malam selepas musim menuai.

“Dengan adanya penggemar belalang ini, kita boleh sama-sama cari makan, pencari, pembekal dan penjual macam saya ini boleh la pitih (duit) untuk menampung keluarga,” katanya.

Penggemar belalang, Zarul Mohd Nasir, 48, berkata, walaupun harga belalang agak tinggi, dia sanggup membelinya kerana menganggap ia sebagai makanan eksotik.

Katanya, selain enak, belalang juga dikatakan berkhasiat serta mampu menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Bagaimanapun hanya saya dan isteri memakannya kerana anak-anak saya tidak menggemarinya, mungkin asing kepada mereka dan tidak berani membiasakan diri dengannya,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Lori balak rempuh rumah

GUA MUSANG – “Nasib baik tiada orang, bunyi sangat kuat rempuh rumah,” itulah antara luahan saksi yang melihat bagaimana sebuah lori balak merempuh sebuah rumah di Simpang Empat Kundur, Jalan Gua Musang – Jelawang, di sini, malam tadi.

Menurut Minah Ripin, 58, ketika kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, dia sedang solat Maghrib dan mendengar bunyi yang kuat di hadapan rumahnya.

“Selepas selesai solat, saya terus buka pintu tanpa sempat menanggalkan telekung. Saya lihat, sebuah balak tersadai di hadapan rumah dan lihat dinding rumah jiran saya roboh.

“Bukan itu sahaja, malah lori berkenaan sebelum itu turut merempuh wakaf di tepi jalan dan kemudiannya gerai burger serta dua buah kenderaan milik dua jiran saya.

“Melihat keadaan itu, saya terus meminta anak lelaki supaya menghubungi tuan rumah yang ketika itu tiada di rumahnya,” katanya lagi.

Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Zaidi Rahman, 35, berkata, ketika kejadian, dia berada di kedai berhampiran manakala isterinya pulang ke kampung.

“Nasib baik ketika kejadian, saya dan isteri tiada. Bahagian yang dirempuh itu merupakan garaj kereta dan ruang tamu utama rumah kami.

“Kebiasaannya, kami akan makan, menonton televisyen dan bersantai di ruang tamu berkenaan. Kalau kami berada di situ ketika kejadian, tidak tahulah bagaimana keadaan kami.

“Rempuhan itu memusnahkan kereta jenis Wira Aeroback dan bahagian garaj dan ruang tamu rumah saya. Kereta yang diparkir di garaj terperosok masuk ke dalam rumah di mana dinding roboh,” katanya lagi.

Selain itu, rempuhan berkenaan turut memusnah sebuah lagi kereta jenis Perodua Kancil jirannya yang diparkir berdekatan gerai burger.

Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 60 tahun itu hanya cedera di bahagian tangan kanan sahaja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Menyingkap legenda Gunung Reng

MELEWATI Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik berhampiran Batu Melintang, pasti ramai tertanya-tanya mengenai gunung yang berdiri megah seolah-olah menyambut ketibaan pengunjung dari utara ke negeri ini.

Mendengar sahaja nama Jeli, pasti akan turut kedengaran nama Gunung Reng dan inilah yang dialami penulis sebelum menjejakkan kaki ke daerah ini Mac lalu.

Kerana itu juga dalam diam-diam timbul perasaan tidak sabar untuk melihat sendiri gunung yang begitu sinonim dengan orang Jeli ini.

Sebagai perantau di sini, tempat-tempat menjadi sebutan seperti Gunung Reng bagaikan magnet yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja untuk menyingkap kisahnya lebih-lebih lagi apabila mengetahui ia menyimpan 1,001 misteri.

Gunung timpa kampung di hari akhir keramaian  

Kampung Gunung Reng dikatakan wujud kerana kifarah ALLAH terhadap hambanya yang telah melanggar nilai serta norma kemanusiaan.

Jika dirujuk pada catatan sejarah yang terdapat sekitar gunung itu, tapak asal gunung berkenaan dibuka Tok Tadeh dari keturunan Pulang Hari, Jawa, yang berhijrah ke kampung berkenaan.

Penduduk, Abu Bakar Yaacob, 73, berkata, berdasarkan cerita Allahyarham ibunya, Siti Mariam Mamat, ketika dulu di Kampung Tala diadakan majlis keramaian secara besar-besaran selama tujuh hari tujuh malam dengan pelbagai acara dan aktiviti.

Katanya, kemuncak pesta berkenaan iaitu menjelang waktu Zohor, diadakan acara melaga kucing dengan anjing yang dibuat di atas bumbung rumah kononnya sebagai acara penutup.

Menurutnya, ketika penduduk leka menyaksikan acara berkenaan, langit tiba-tiba bertukar gelap sebelum disusuli ribut taufan serta hujan lebat.

“Ketika itu seorang nenek bersama cucunya yang tinggal di Kampung Gantang bersebelahan Kampung Tala pulang ke rumah untuk alihkan padi yang dijemur.

“Mereka kemudian kembali ke Kampung Tala, dan alangkah terkejutnya apabila melihat terdapat gunung besar di tapak kampung berkenaan,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN

Keluarga terabai akibat gajet

TUMPAT – Tidak dinafikan penggunaan telefon pintar penting untuk mendapatkan maklumat.

Bagaimanapun, mendidik anak-anak dengan penggunaan telefon pintar banyak memberikan kesan buruk.

Malah, ada kes menyebabkan hubungan keluarga retak gara-gara gajet.

Isteri Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Ab Hamid berkata, cabaran hari ini apabila ibu bapa sibuk dengan telefon pintar sehingga mengabaikan keluarga masing-masing.

“Malah di rumah sekali pun, ayah, ibu dan anak-anak menghabiskan masa dengan telefon pintar sehingga hubungan kekeluargaan renggang disebabkan kurang berkomunikasi.

“Sedangkan untuk mendidik anak-anak, ibu bapa perlu banyak berkomunikasi dan bukannya dibiarkan bermain dengan gajet tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Bengkel Ibu Bapa Muda Dun Pasir Pekan, Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan Wisma Ibadurrahman anjuran Urusetia Pembangunan Wanita keluarga Kebajikan negeri Kelantan di pekarangan Wisma Ibadurahman Kampung Paloh, di sini.

Tambah Siti Zubaidah, untuk menangani masalah itu, sesebuah rumah tangga perlu dihidupkan dengan dengan al-Quran.

“Gantikan permainan gajet itu dengan pasangkan rakaman bacaan Al-Quran, menyebut nama-nama ALLAH.

“Jika ke majlis ilmu, elakkan bermain telefon pintar kerana ia boleh hilang fokus. Yang penting ibu bapa perlu berubah dengan mengawal penggunaan telefon pintar, jangan menghadap telefon pintar sepanjang masa sehingga keluarga terabai,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Hajat enam sekawan mandi laut tidak kesampaian

KOTA BHARU – Hajat enam sekawan untuk mandi manda di Pantai Sabak,  di Pengkalan Chepa di sini tidak kesampaian selepas seorang darinya lemas dalam kejadian di sini petang tadi.

Mangsa Muhammad Syahir Saadi, 10, dipercayai dihanyutkan arus deras selepas gagal menyelamatkan diri ketika berada di tengah pantai.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu mangsa dikatakan bersama lima rakannya yang dikenali sebagai Izzat, Kausar, Kimi, Alif dan Zaim ke kawasan itu.

Zaim berkata, dia sebelum ini tidak pernah mandi di kawasan itu namun Syahir beria-ia mengajak Zaim dan rakan-rakannya ke pantai berkenaan.

“Saya hanya sempat nampak tangan Syahir melambai- lambai di tengah laut sebelum dia terus hanyut.

“Kami juga hampir lemas namun kemudian sempat diselamatkan oleh penduduk yang nampak kami mandi, ” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang sempat menyelamatkan mangsa, Muhammad Faiz Abdullah, 28, berkata, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari pantai dan sedang berniaga makanan digerai berhampiran.

“Saya nampak empat budak sedang mandi dan hampir lemas lalu cuba selamatkan mereka dan minta tolong dua lagi rakan.

“Hanya seorang sahaja yang gagal diselamatkan dan dia terus hanyut di bawa arus,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Hussin Ab Rahman berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.35 petang.

“Seramai 16 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan dalam operasi terbabit mayat Muhammad Syahir ditemui kira- kira jam 5.15 petang ini.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5. 15 petang dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada polis,”  katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN

Ular sawa dalam enjin kereta

KUALA KRAI – Hasrat seorang lelaki yang ingin menghantar anaknya ke tabika terbantut apabila dikejutkan dengan penemuan ular sawa seberat 35 kilogram di dalam bahagian enjin kereta.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Kamaruzaman Awang, 45, dari Lepan Anjung, Dabong mahu membuka bahagian bonet kereta Perodua Alza miliknya untuk memeriksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Bagaimanapun, katanya, bonet keretanya sukar dibuka, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Lepas berjaya dibuka, saya lihat seekor ular sawa pada bahagian enjin.

“Terkejut melihat ular itu, saya terus lepaskan bonet hingga menghempap ular berkenaan,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya mengajak adik iparnya, Nik Azwan Nik Soh, 28, untuk mengeluarkan ular tersebut dari kenderaannya, namun lelaki berkenaan enggan.

“Adik ipar kemudiannya hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bantu keluarkan ular,” katanya yang terpaksa menghantar anaknya ke tabika dengan motosikal.

Menurut Kamaruzaman, sebelum ini, dia dan keluarganya kerap menemui ular di sekitar rumahnya.

“Selalunya saya berani tangkap ular kerana saiznya agak kecil.

“Tapi ular sawa ini agak besar, sebab tu saya tak berani nak keluarkannya dari enjin kereta,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, enam anggota bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 8 pagi.

“Setibanya di sana, reptilia itu masih berada pada bahagian ruangan enjin kereta.

“Anggota bertugas mengambil masa empat minit untuk mengeluarkan ular berkenaan dengan menggunakan penjerut,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan berkenaan adalah yang ke-209 untuk tahun ini sementara kes pertama tangkapan pada bahagian enjin kenderaan.

Menurutnya, ular sepanjang lima meter itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM untuk diserahkan kepada pihak perhilitan.

Mahu penuhi permintaan Allahyarham

KUALA KRAI – Ibu pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Danial Md Amin, 14, yang meninggal dalam kebakaran bulan lalu akan menunaikan permintaan Allahyarham menghantar tiga adiknya ke pusat tahfiz.

Surianty Mohamed, 39, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu beria-ia untuk menyambung pengajian di pusat tahfiz dan begitu teruja apabila hasratnya dapat dipenuhi awal tahun ini.

Katanya, Allahyarham turut menyuarakan keinginannya untuk melihat tiga adiknya, Diniey Qisdina, 12; Muhammmad Eiman, 11, dan Muhammad Salahuddin Al-Ayubi, 6, turut belajar di pusat tahfiz.

Menurutnya, awal tahun hadapan Muhammad Eiman akan mula belajar di Maahad Tahfiz Al Hashimi Tualang, Kuala Krai setelah mendapat tawaran daripada pihak tahfiz berkenaan.

“Saya begitu gembira bila terima tawaran daripada pihak tahfiz kerana ketika itu saya sedang cari pusat tahfiz untuk anak-anak.

“Saya benar-benar bersyukur, ia seolah-olah satu kiriman daripada ALLAH,” katanya.

Menurutnya, dia kini sedang mencari pusat tahfiz yang sesuai untuk menghantar dua lagi anaknya.

“Saya ada berbincang dengan Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi (M-TAH), Mejar (B) Datuk Adnan Hashim yang minta saya hantar anak bongsu ke pusat tahfiz itu yang kini dalam proses menyiapkan bangunan kelas tahfiz untuk murid sekolah rendah.

“Jika tak ada halangan, dua tahun lagi saya akan hantar anak bongsu pula ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, tawaran itu sebagai salah satu khidmat kepada ibu bapa yang menerima ketetapan sama seperti tujuh keluarga pelajar tahfiznya yang meninggal dunia dalam kemalangan, Jun lalu.

Beliau berharap, anak-anak yang dipilih boleh dididik untuk menggantikan abang atau adik mereka yang telah  meninggal dunia.

“Harapan saya agar ibu bapa bersyukur dengan musibah yang dihadapi kerana ada pengganti kepada anak yang telah meninggal dan bersyukur kerana terpilih belajar percuma di M-TAH menerusi pengambilan khas.

“Untuk makluman, pengambilan biasa hanya dilakukan tiga tahun sekali syarat dan prosesnya agak ketat dan teliti,”  katanya.

Katanya, tawaran khas itu dibuka kepada keluarga 21 pelajar yang terkorban dalam kebakaran bulan lalu.

“Tawaran masih dibuka hingga 24 Disember ini, dan mereka yang berminat boleh datang sendiri ke Kompleks CIC di Kampung Tualang untuk mendapatkan penjelasan dan borang dari pihak pengurusan M-TAH,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN

Ayah dua anak duduki PT3

RANTAU PANJANG – Seorang kakitangan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) tidak menyangka dapat menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) ketika berusia 37 tahun.

Faizul Abdul Rahman, berkata, atas faktor tuntutan kerja, dia terpaksa menduduki peperiksaan PT3 bersama empat lagi rakannya di salah sebuah sekolah dekat sini.

Anak keempat dari tujuh beradik ini berkata, lahir dalam keluarga kurang berkemampuan menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah selepas tamat tingkatan satu.

Disebabkan itu katanya, dia tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya sempat buat persiapan awal dan ulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan sebelum menduduki peperiksaan, malah saya pergi kelas tambahan hampir setahun.

“Selain baca buku teks, saya beli buku latihan dan buat latih tubi kerana tanpa ulang kaji, ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Menurut Faizul, ia agak mencabar namun dia berjanji untuk melakukan yang terbaik demi kerjaya selain mahu membanggakan isteri serta dua anaknya.

Sementara itu, Setiausaha MDPM, Muhamad Zaidi Mat Jusoh berkata, seramai 28 kakitangan MDPM dikehendaki mengambil peperiksaan PT3 bagi memenuhi syarat pengambilan pekerja tetap.

Selain Faizul, katanya, calon PT3 termuda yang juga kakitangan MDPM berusia 24 tahun manakala tertua berumur 51 tahun dan mereka menduduki peperiksaan berkenaan di sekolah-sekolah terpilih sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Walaupun menduduki peperiksaan PT3 ketika di usia agak lanjut, tapi saya percaya mereka mampu buat yang terbaik dan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Baja organik jimat kos petani

JELI – Penggunaan baja organik dalam projek-projek penanaman bukan suatu yang baharu, sebaliknya sudah lama diperkenalkan.

Ia bukan sahaja dapat memelihara alam sekitar, malah baja dihasilkan daripada bahan semula jadi ini diyakini lebih selamat kerana bebas dari bahan-bahan kimia merbahaya.

Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok mengambil inisiatif untuk membantu golongan petani di kawasan berkenaan menghasilkan sendiri baja organik bagi memenuhi keperluan tanaman mereka.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Lanas Jedok, Zulkifli Yunus berkata, melalui Kursus Pembuatan Makanan Organik (Bokashi) untuk ternakan dan baja organik menggunakan Effective Microorganisma (EM), pihaknya cuba mendedahkan peserta terlibat tentang proses penghasilan baja organik berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada bahan buangan.

“Melalui kursus ini, peserta didedahkan dengan proses penghasilan baja organik menggunakan sekam padi, nasi, buah-buahan buruk dan manisan lembu yang diperam selama tiga hari.

“Proses yang sangat ringkas dan hanya memerlukan bahan-bahan di sekeliling kita sahaja,” katanya ketika mengulas mengenai kursus yang dihadiri ketua-ketua unit peladang dan wakil mereka, baru- baru ini.

Menurutnya, kursus berkenaan bukan sahaja membolehkan peserta menghasilkan baja untuk kegunaan sendiri malah boleh dikomersialkan untuk pasaran semasa sekali gus menjana pendapatan sampingan.

“Bokashi ini mempunyai kelebihan untuk meneutralkan struktur tanah, kalau dulu kita guna kapur untuk neutralkan tanah, tapi baja organik dihasilkan ini mampu bertindak dua dalam satu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PPK Lanas Jedok, Mohd Harmie Nipa berkata, berdasarkan pengalaman dan kajian, baja organik dihasilkan ini terbukti berkesan dan potensinya cukup besar apabila mampu memberikan hasil lebih kurang sama dengan baja kimia, malah dalam waktu tertentu ia lebih baik.

Menurutnya, penggunaan bahan semula jadi merupakan inisiatif jabatan itu bagi membantu petani mengurangkan kos input pertanian mereka.

“Peserta kursus kali ini lebih bertuah apabila mendapat tunjuk ajar dan bimbingan secara langsung daripada Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Md Zahari Abdullah yang juga antara salah seorang individu yang menghasilkan dan menggunakan sendiri baja berkenaan,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengalaman Md Zahari, hasil dikeluarkan tanaman kelapa sawitnya meningkat satu kali ganda berbanding sebelumnya.

SUMBER : SINAR HARIAN