image(15)

Cari rawatan, pendidikan anak autism

KOTA BHARU – Kanak-kanak yang mempamerkan tingkah laku mencabar sering disalah tafsir sebagai nakal atau kurang pendidikan, namun sebenarnya ada dalam kalangan mereka adalah autism.

Penyelaras program Forum Autism, Dr Nik Aida Nik Adib berkata, usaha mengadakan forum tersebut sekurang-kurangnya memberi ruang kepada ibu bapa bertanya sebanyak mungkin mengenai permasalahan yang dihadapi bermula dari anak disahkan mempunyai autism, hingga seterusnya termasuk perawatan serta pendidikan.

“Selain kesedaran dan pengetahuan tentang perawatan yang ditawarkan di fasiliti kesihatan, sokongan yang perlu diberi dan jenis pendidikan sepatutnya diterima juga perlu ditekankan.

“Di sini (melalui forum) juga, ibu bapa berpeluang bertanya semasa anak mengikuti rawatan atau intervensi bagi autism, jadi di sini mereka boleh rujuk untuk kebaikan masa depan anak-anak,” katanya selepas Forum Autisme: Cara Perawatan, Sokongan dan Hala Tuju Pendidikan Yang Perlu Diketahui oleh Ibu Bapa, di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, hari ini.

Forum berkenaan dihadiri hampir 200 peserta yang terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak autisme seluruh Kelantan.

Turut hadir, Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Masyarakat, Dr Mohd Ismail Ibrahim, Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Masyarakat, Prof Madya Dr Azriani Ab Rahman @ Berahim, Pensyarah Jabatan Pasikiatri, Dr Raishan Shafini Bakar.

Forum tersebut melibatkan beberapa panel jemputan termasuk Pakar Perunding Neurologi Kanak-kanak, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Ketua Penolong Pengarah Bahagiam Warga Emas dan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, HRPZ II, Salbani Daud.

Dr Nik Aida berkata, untuk mengenalpasti anak-anak autism, kadang-kala ibu bapa sendiri keliru kerana mereka sudah cuba mendidik anak tersebut, tetapi didikan yang diberikan tidak berkesan.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, ada anak autism tidak mempunyai sebarang tanda fizikal dan mereka mengalami kecelaruan fungsi urat otak atau dalam istilah perubatan kecelaruan neurological (neurological disorder) yang memberi impak negatif kepada perkembangan otak.

“Urat saraf otak kanak-kanak yang mengalami autism tidak berfungsi seperti anak-anak lain.

“Untuk memahami kecelaruan ini, kita boleh umpamakan urat saraf otak kanak-kanak yang celaru di dalam sesebuah bilik, yang mana, wayar elektrik yang bercelaru akan menyebabkan alat elektrik di dalam bilik itu tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Bagi Bapa, Mohd Ghazali, berkata, anak sulungnya dari empat beradik, Muhammad Shafiq, 14, dari Kampung Banggol Pasir Mas dikenalpasti mengalami autism sejak usia empat tahun.

“Dua kali sebulan kami mendapatkan rawatan dan fisioterapi daripada HRPZ II dan Alhamdulillah apabila bersekolah, banyak perkara berfaedah membantu anak kami termasuk dapat tahu bakat serta kemahiran,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *