Sinar Harian

Berjaya hafaz 28 juzuk al-Quran

BUKAN mudah untuk menjadi seorang hafiz, perlu menjaga tertib dan pelbagai perkara termasuk perilaku dan pemakanan.

Bagi seorang anak yatim dari Kampung Sungai, Bachok, minatnya untuk mendalami ilmu agama sejak di bangku sekolah rendah menjadi pendorongnya.

Ahmad Arif Hanif Juhari, 15, anak keempat daripada lima beradik ini tidak kekok meninggalkan segala kelaziman hidup sebelum ini semata-mata untuk mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai, sejak usia 11 tahun.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk ini meninggalkan alam persekolahan aliran biasa untuk mengejar cita-citanya belajar agama ke Timur Tengah.

Katanya, walaupun untuk memasuki sekolah tahfiz agak ketat dengan tiga siri ujian, dia dapat melepasinya dan kini sudah menghafaz 28 juzuk al-Quran.

“Semua perkara perlu dijaga termasuk pergaulan dan pemakanan. Saya tak boleh makan sesuka hati di luar sebab makanan yang jadi darah daging akan mempengaruhi hati dan minda kita.

“Kalau balik kampung pun tak lama, tiga empat kali saja setahun tak termasuk waktu outing dua minggu sekali. Outing pula hanya sehari.

“Saya akan balik kampung kalau rasa rindu sangat dengan mak. Tambahan pula mak tinggal seorang diri sekarang selepas adik saya (Ahmad Hakim, 13) juga belajar di maahad ini,” katanya.

Sering jadi imam tarawih, solat jemaah

Menjelang Ramadan setiap tahun, Ahmad Arif antara pelajar yang menjadi rebutan untuk dipinjamkan sebagai imam di masjid-masjid seluruh negeri termasuk di Terengganu.

Difahamkan, baru-baru ini dia pernah ditawarkan untuk bertugas di sebuah masjid di Kuala Besut untuk menjadi imam tarawih, namun permintaan itu terpaksa ditolak oleh ustaznya memandangkan dia mempunyai banyak aktiviti di maahad tahfiz berkenaan.

“Saya tak kisah jadi imam di mana-mana saja tapi perlu melalui ustaz sebab jadual kami agak padat dengan pelbagai aktiviti.

“Saya mula jadi imam solat jemaah sejak di sekolah rendah lagi ketika kelas fardu ain. Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah kendalikan sebarang solat berjemaah.

“Kita perlu yakin dan tawakal kepada ALLAH SWT ketika menggalas tanggungjawab sebagai imam solat,” katanya yang kehilangan bapa sejak 11 tahun lalu.

Belajar pelbagai kemahiran

Berkongsi mengenai aktivitinya sebagai pengajar kelas al-Quran, Ahmad Arif berkata, usia muda sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk belajar al-Quran.

Katanya, apabila usia telah meningkat, keupayaan seseorang untuk menelaah terbatas sama ada dari segi sebutan dan penglihatan.

“Alhamdulillah kini saya dah hafaz 28 juzuk. Di sini kami diajar pelbagai kemahiran berbeza. Jika saya azan, kawan-kawan lain akan iqamat, baca doa dan imamkan solat.

“Ia untuk membolehkan kami merasai sendiri pengalaman itu sebelum bersedia keluar menjadi imam solat. Dalam sibuk kami menelaah pelajaran, dalam masa sama kami juga terlibat dengan sukan yang penting untuk kecergasan fizikal,” katanya,

Ibu sokong minat anak

Sementara itu ibunya, Aminah Mat, 48, berkata, dia tidak pernah menyekat minat dua anaknya untuk mendalami ilmu agama.

Katanya, dia bertuah kerana di maahad tahfiz itu, anaknya ditanggung sepenuhnya pihak maahad termasuk pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran.

“Adakala kalau saya rindu anak-anak, saya akan naik kereta sewa ke Kuala Krai. Walaupun bukan orang senang tapi saya tak kisah berhabis RM100 untuk bayar tambang ke sana demi lihat anak depan mata.

“Saya bersyukur mereka minat ilmu agama dan sentiasa berdoa supaya mereka berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air kelak,” katanya.

Ahmad Arif adalah rakan sekampung dengan pelajar tahfiz, Muhamad Rahman Rozali, 17, yang meninggal dunia dalam tragedi kemalangan tujuh hufaz di Kuala Krai baru-baru ini.

Dia turut mengiringi jenazah sahabatnya itu ketika disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai.

Ahmad Arif juga pernah dinobatkan qari terbaik keseluruhan Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak tahun 2015.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *