image(15)

Bantu lonjak ekonomi Kelantan

KOTA BHARU – Usaha sama melalui pelaburan strategik A-BIO Sdn Bhd (A-BIO) dengan Ain Medicare Sdn Bhd (Ain Medicare) dalam industri bioteknologi perubatan mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi di Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, syarikat yang bertapak sejak tahun 1994 di kawasan perindustrian terbesar di negeri ini dengan pengeluaran RM300 juta setahun turut menyumbang RM30 juta kepada ekonomi Kelantan.

“Dengan kekuatan 1,200 pekerja ia memberi kesan kepada rakyat Kelantan dengan bayaran gaji bernilai RM2.5 juta. Kalau kilang ini tidak dapat meneruskan operasinya, maka Kelantan akan hilang RM30 juta.

“Bila rakyat dapat kerja mereka boleh beli rumah, kahwin dan berjasa kepada keluarga.

“Jadi dengan suntikan RM20 juta ini menunjukkan kepercayaan kerajaan menerusi A-BIO sebuah syarikat pelaburan strategik di bawah Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might), membantu Ain Medicare lebih berdaya saing dalam pasaran terbuka yang membawa pulangan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memeterai Perjanjian di antara A-BIO dan Ain Medicare di Kompleks Farmaseutikal Ain Medicare di Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, Pengerusi A-Bio, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah.

Sementara itu, Dr Mohd Yusof berkata, pelaburan dari A-BIO ini juga bertindak sebagai pemangkin untuk Ain Medicare menaik taraf produk farmaseutikalnya kepada yang lebih bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ia dicapai melalui fasiliti pembuatan tercanggih masa kini sejajar dengan misi A-BIO untuk membangunkan industri tempatan yang unggul dan berdaya saing dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.

Tambahnya, sejak ditubuhkan tahun 2009, A-BIO telah melabur dalam syarikat di tiga sektor utama iaitu industri berasaskan bio dan bioteknologi, industri teknologi baru muncul dan industri hijau.

Dalam pada itu, Wan Ariff berkata, di awal penubuhan dengan pelaburan RM20 juta Ain Medicare mengeluarkan produk steril dalam rangkaian terhad,  namun kini dipelbagaikan dan dibuktikan apabila Pelaburan Langsung Domestik mencecah RM255 juta untuk penambahan  kapasiti pengeluaran, teknologi automasi dan menampung permintaan ubat negara semakin meningkat.

Katanya, kejayaan mereka dikongsi dengan usahawan lain dengan melahirkan ramai usahawan kecil dan sederhana (SME), memiliki 180 vendor dan ia dapat dilihat melalui keberkesanan dalam menaikkan 81 syarikat  SME untuk pelbagai urusan berkaitan termasuk pengangkutan, kanister plastik, kotak pembungkusan, label, palet kayu dan servis kejuruteraan.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *