image(15)

Baju Pok Ya Cong Codei laris

TANAH MERAH – Pok Ya Cong Codei terus mencetuskan fenomena apabila baju T eksklusif berdasarkan telefilem itu laris terjual bak ‘pisang goreng panas’ sejak mula dipasarkan, Selasa lalu.

Sehingga hari ini, lebih 2,000 helai baju keluaran Akademi Dikir Barat Arjunasukma yang mendapat lesen hak cipta daripada pengarah dan pelakon utama telefilem itu, Sabri Yunus dan syarikat produksi, Balang Rimbun, dijual.

Pengasas akademi, juga pengurus jualan produk itu, Muhd Sulhie Yusof berkata, selain sambutan luar biasa untuk baju T, pihaknya turut menerima permintaan tinggi dari seluruh negara untuk menjadi ejen jualan.

“Sekarang kita ada seramai 15 ejen jualan sah meliputi hampir 30 lokasi seluruh negara yang menjual secara terus dan ada juga jual melalui online,” katanya, semalam.

Menurutnya, pelancaran secara rasmi baju itu akan di-buat oleh Sabri di Kota Bharu pada 22 Februari ini.

“Sejumlah hasil jualan bagi setiap pembelian baju T ini akan disumbangkan kepada tabung wakaf bumbung Masjid Eh Chu di selatan Thailand,” katanya.

Sementara itu, pengedar sah daerah ini, Muhammad Azhar Zamiri Mamat berkata, lebih 200 baju berkenaan berjaya dijualnya dalam tempoh tiga hari.

Katanya, sambutan luar biasa itu menyebabkan dia berdepan kekurangan stok kerana baju tersebut turut diedarkan dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.

“Kilang tak mampu nak cetak banyak sekali gus, jadi saya dan pelanggan yang buat tempahan terpaksa tunggu stok sampai secara berperingkat.

“Sambutan memang luar biasa dan baju laku macam ‘pisang goreng panas’.

Saya tak sangka pengaruh dan fenomena Pok Ya Cong Codei sampai begini sekali,” katanya.

Tambahnya, baju itu dijual pada harga promosi RM25 untuk lengan pendek dan RM29 untuk lengan panjang.

Bagi seorang pembeli, Hazzely Hussain, baju itu dibelinya sebagai tanda sokongan kepada Sabri yang terkenal banyak mempromosikan loghat Kelantan asli dalam hasil seninya.

“Cerita arahan beliau juga istimewa kerana diselitkan dengan unsur-unsur nasihat dan dialek Kelantan digunakan adalah dialek asli.

“Ada juga drama lain guna dialek Kelantan tapi lebih kepada loghat moden. Sabri pula guna loghat percakapan orang-orang lama dan mengekalkan dialek asli Kelantan,” katanya.

Katanya, sebagai penyanyi, dia tidak keberatan mempromosikan produk itu sebagai tanda sokongan kepada Mohd Sulhie.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *