All posts by shah ahmad

Fenomena air pasang besar masih terkawal

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk fenomena Air Pasang Besar dan musim tengkujuh yang dijangka berlaku di negeri ini sekitar November hingga Januari.

Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata,  setakat ini keadaan di Kelantan masih terkawal memandangkan hujan hanya berlaku di beberapa kawasan dan tidak beterusan.

“Insya-Allah kita akan gerakkan 594 anggota di negeri ini dengan persediaan rapi termasuk dengan bantuan kecemasan dengan kelengkapan bot dan logistik untuk membantu memberi perkhidmatan yang diperlukan kepada masyarakat.

“Setakat ini kesemuanya dalam keadaan baik dan kita menunggu arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa untuk sebarang perubahan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 1,245 peserta kayuhan “Fun Ride’ di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Tunjong di sini.

Anwar berkata, sambutan orang ramai amat menggalakkan dalam penyertaan tahun kedua kali ini melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Sasaran kita sebenarnya 500 peserta namun sehingga hari penyertaan kita menerima makin ramai peserta dan ia menunjukkan sambutan yang baik terhadap penganjuran kali ini.

“Insya-ALLAH kita akan jadikan acara kayuhan basikal ini sebagai acara tahunan memandangkan sambutan di luar jangkaan,” katanya.

Program itu disertai oleh pelbagai lapisan usia dan peserta paling muda berumur 71 tahun manakala yang paling muda berusia 11 tahun.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Pintu gerbang mercu tanda baharu Kota Bharu

KOTA BHARU -Pembinaan Pintu Gerbang Medan Ilmu Tok Guru di Jalan Dato’ Pati menjadi mercu tanda baharu di bandar ini di samping  memperhebatkan lagi perkembangan ilmu agama di situ.

Pintu gerbang yang dibina dengan kos RM400,000 peruntukkan kerajaan negeri dan dilaksanakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu  siap dibina pada Mac tahun ini.

Medan Ilmu tersebut terlalu sinonim dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga rakyat negeri ini sebagai tempat sejak sekian berpuluh tahun lamanya medan perkongsian ilmu setiap Jumaat.

Ia bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan bahkan masyarakat dari luar negara juga turut mengunjungi medan tersebut sejak zaman arwah tokoh ulama itu masih ada lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, ilham pembinaan pintu gerbang berwarna putih dan keemasan tersebut diambil bersempena dengan sebuah tempat pengajian ilmu agama oleh arwah di India.

“Idea ini tercetus semasa sambutan 25 Tahun Membangun Bersama Islam dan ia merupakan mercu tanda pembangunan di Kota Bharu.

“Kelantan  salah satu negeri yg membangunkan negerinya  berasaskan ilmu dan kita setuju untuk bina mercu ini,” katanya dalam ucapannya.

Perasmian pintu gerbang tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk  Ahmad Yakob yang turut dihadiri Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Sementara itu, Zamri bagi merancakkan lagi aktiviti keilmuan  dan memberi keselesaan kepada pengunjung pihaknya akan melakukan penambahbaikan dari masa ke masa.

“Selain dana daripada kerajaan negeri, kerajaan pusat juga turut menyumbang bagi menaiktaraf  sekitar Jalan Dato’ Pati ini,” katanya.

 SUMBER : SINAR HARIAN

JBPM Kelantan diminta percepat pemeriksaan pusat tahfiz

TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diminta untuk mempercepatkan pemeriksaan keselamatan terhadap premis yang terlibat dengan pengajian agama di negeri itu terutama pusat tahfiz.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bagi mengelakkan kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur 14 Sept lepas terjadi di negeri itu.

“Apa yang berlaku di Jalan Keramat Ujung itu satu peristiwa yang menyayat hati. Kita reda dengan apa yang berlaku tetapi dalam masa yang sama perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa depan.

“Caranya adalah ikut syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dan kita harap di Kelantan, pusat tahfiz akan mula diperiksa oleh JBPM Kelantan secepat mungkin supaya kejadian sama tidak berlaku,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih dan meninjau beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran dan Dun Pengkalan Kubor di sini, malam tadi.

Selasa lepas, mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan.

Ia susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar.- Bernama

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Abang sempat selamatkan adik

KOTA BHARU – Seorang remaja sempat menyelamatkan tiga adiknya yang sedang tidur dalam kejadian kebakaran di Wakaf Mek Zainab di sini, awal pagi kelmarin.

Nik Alif Zakuan, 16, berkata, ketika kejadian, dia tersedar dari tidur kira-kira jam 3 pagi dan buka tingkap apabila mendengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya terkejut bila lihat api melambung dan terus kejut adik dan ibu menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya hanya fikirkan nasib adik-adik dan mak. Lagi pun saya turut mempunyai adik bongsu yang masih kecil berusia setahun.

“Tapi saya tidak sempat selamatkan barangan dalam rumah ,” katanya.

Nik Alif berkata, mujurlah dia bertindak cepat kerana kawasan rumah rapat antara satu sama lain.

“Adik-adik pun terkejut dengan kejadian ini.

“Sekarang saya tumpang di rumah jiran dan harap ada yang membantu kami setelah tiada tempat tinggal dan tinggal sehelai sepinggang,” katanya.


Orang ramai hulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran, semalam.

50 keluarga selamat dari tragedi

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi kelmarin, lebih 50 keluarga di Wakaf Mek Zainab di sini tinggal sehelai sepinggang selepas 15 kediaman hangus sekelip mata ketika penduduk sedang tidur.

Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setelah penghuni sempat menyelamatkan diri.

Seorang mangsa yang ditemui, Nik Arna Che Mahmud, 32, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 2.30 pagi untuk membancuh susu anak bongsunya berusia sebulan.

“Ketika saya sedang bancuh susu, saya terdengar jiran menjerit ‘api-api’.

“Saya terus mendapatkan anak-anak saya dan keluar menyelamatkan diri. Walaupun kesemua barangan dalam rumah musnah, namun saya masih bersyukur anak-anak selamat,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Midah Musa, 49, berkata, ketika kejadian, dia yang tidur ketika itu dikejutkan jeritan jiran.

“Saya tinggal seorang diri dan terus bangun menyelamatkan diri dan hanya sempat mengambil telefon bimbit dan beg tangan sahaja.

“Boleh dikatakan saya antara orang yang terawal keluar rumah menyelamatkan diri dan semasa berlari, saya sempat mendukung seorang anak kecil dan tidak tahu anak siapa,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Miss Yawareeyah, 45, berkata, saya sedar selepas dikejut cucu dan hanya mampu selamatkan pasport bersama cucu dan anak istimewa.

“Mujurlah ada jiran yang turut bantu. Setakat ini saya tidak tahu ke mana lagi hendak dituju,” katanya.

Penduduk asal di kawasan itu, Nek Wok Che Ibrahim, 73, berkata, kejadian berlaku begitu pantas.

“Walaupun mak cik sakit lutut, saya gagah juga diri selamatkan diri. Mujurlah cucu saya tolak kerusi roda dan bantu mak cik keluar dari rumah,” katanya.

40 minit padam kebakaran

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Kanan,  Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.52 pagi.

“Dengan kekuatan 26 anggota, operasi mengambil masa hampir 40 minit untuk memadam kebakaran.

“Setakat ini kita anggarkan 15 kediaman terbakar dan empat lagi kediaman yang terlibat merupakan rumah kosong,” katanya.

Zaini berkata, buat masa ini punca dan kerugian masih dalam siasatan dan menyerahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan untuk tindakan lanjut.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Terdedah risiko kemalangan

TANAH MERAH – Jemaah Masjid Mukim Peralla dekat sini, meminta pihak berkenaan membina bonggol di hadapan masjid itu untuk keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.

Imam Tua masjid itu, Shiha Buddin Ab Ghani berkata, ketiadaan bonggol menyebabkan jemaah masjid dan penduduk terdedah kepada risiko kemalangan terutama apabila melintas jalan.

Katanya, pembinaan bonggol dapat mengelakkan pemandu memandu laju dan mengurangkan kelajuan kenderaan ketika melalui jalan di hadapan masjid berkenaan.

“Bonggol di hadapan masjid ini perlu dibina segera atas faktor keselamatan jemaah masjid dan juga penduduk terutama pada waktu malam.

“Lalu lintas makin sibuk dan kenderaan laju amat berbahaya kepada penduduk terutama ahli jemaah dan kanak-kanak yang keluar masuk masjid untuk belajar al-Quran,” katanya, semalam.

Menurutnya, selain jalan utama penduduk beberapa kampung, laluan itu dilalui kenderaan berat yang keluar masuk ke beberapa tapak perlombongan emas di kawasan berhampiran.

Tambahnya, kedudukan jalan yang lurus di sepanjang laluan di hadapan masjid itu juga menambahkan lagi risiko apabila ada kenderaan yang dipandu laju.

“Saya harap isu keselamatan jemaah masjid berhubung pembinaan bonggol jalan ini mendapat perhatian dan tindakan segera pihak bertanggungjawab,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

12 hektar padi terlebih masak

PASIR PUTEH – Petani bendang Wakaf Raja-Gong Nangka di sini, kecewa apabila sekurang-kurangnya 12 hektar padi rosak melibatkan kerugian kira-kira RM54,000 akibat terlebih masak gara-gara jentuai tidak mencukupi.

Sebahagian daripada 61 petani yang menjadi peserta Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Padi Gong Nangka untuk kawasan seluas lebih 79 hektar itu mendakwa syarikat yang menguruskan projek terbabit gagal melaksanakan tanggungjawab.

Wakil petani, Kamarudin Mamat, 58, berkata, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tiga Daerah yang merupakan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk projek berkenaan sudah dimaklumkan tetapi sehingga sekarang tiada tindakan dibuat untuk mengatasinya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan 12 hektar padi yang sepatutnya dituai baru-baru ini, menjadi terlebih masak dan mulai rosak.

“Hasil padi di kawasan ini tidak setinggi mana, antara satu hingga tiga metrik tan sehektar, tetapi ia baik untuk kami daripada langsung tidak mengeluarkan hasil.

“Kali ini padi yang boleh dituai tidak dapat dituai kerana jentuai tidak mencukupi yang menyebabkan petani terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya.

Kamarudin berkata, projek musim kelima atau terakhir itu penting kepada petani kerana ia membantu petani menyediakan keperluan secukupnya untuk penanaman musim baharu.

“Mengikut perjanjian projek, pembekalan input, kejenteraan ladang dan jentuai diuruskan SPV, sebab itulah SPV tidak boleh lepas tangan dalam soal ini.

“Saya minta jasa baik pihak berkenaan beri perhatian serius kepada masalah ini, ia sangat penting bagi penanam untuk menaruh keyakinan kepada projek NKEA.

“Padi adalah punca pendapatan saya, perbelanjaan seharian akan terjejas jika ia tidak membuahkan hasil,” katanya yang usahakan lebih 1.38 hektar padi.

Tambahnya, pokok yang mengandungi padi masak akan menunduk atau patah sekiranya gagal dituai yang menyebabkan pokok kering dan menjadi kehitaman.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

JPS Kelantan sentiasa waspada air pasang

KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan mengingatkan penduduk yang tinggal di persisiran pantai atau pengunjung di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang.

Pengarahnya, Kamal Mustapha berkata, di negeri ini, kejadian air pasang besar itu dijangka akan berlaku pada 5 November hingga 7 November ini setinggi 1.4m.

“Berdasarkan kejadian sebelum ini iaitu  dua tahun lalu (akhir tahun 2015  dan awal tahun 2016 ), air pasang setinggi 1.4 meter (m) ke atas (berdasarkan Jadual Pasang Surut di Geting, Tumpat) memberi kesan kepada beberapa tempat.

“Kesan ini boleh terjadi di pantai seperti di Pantai Tok Bali (Pasir Puteh), Kemayan (Bachok) dan tiga pantai di Kota Bharu melibatkan Sabak, Kundur, Mek Mas.

“Berdasarkan jadual pasang surut 2017 pada hari ini, air pasang setinggi 1.1m dan setelah pemantauan dibuat, kita mendapati tiada kesan atau tanda air melimpah atau kesan buruk yang melanda kawasan berkenaan,” katanya, di sini, hari ini.

Kamal berkata, JPS Kelantan sentiasa memantau kawasan di sepanjang persisiran pantai di Kelantan melibatkan jajahan Pasir Puteh, Bachok,Kota Bharu dan Tumpat.

“Kawasan yang dijangka menerima kesan dari fenomena air pasang besar ialah di kawasan Pantai Kemayan (Bachok) dan Kundur (Kota Bharu).

“Manakala, keadaan dijangka bertambah buruk sekiranya pada masa yang sama berlaku hujan lebat dan ombak besar,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, paras 1.4m adalah paras berjaga-jaga iaitu melebihi 1.4m, sekiranya air pasang melebihi 1.4m boleh menyebabkan air melimpah di beberapa kawasan

Katanya, mereka yang tinggal di kawasan persisiran pantai diminta sentiasa berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat dari semasa dari JPS negeri ini.

 

SUMBER : SINAR HARIAN