All posts by shah ahmad

‘Ingatkan orang bakar sampah’

KOTA BHARU – Bunyi letupan yang disangka berpunca dari kawasan tempat pembakaran sampah, akhirnya memusnahkan dua rumah kayu di Lundang, di sini, semalam.

Mangsa, Azira Azhari, 23, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi letupan seperti botol pecah yang disangka dari tempat bakar sampah dan ada orang yang sedang membakarnya.

“Masa tu saya tak nampak api mula dari mana, sehinggalah diberitahu orang kampung rumah jiran sebelah terbakar dan merebak terus ke rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Azira berkata, melihatkan keadaan api semakin marak dan merebak dari bahagian dapur, dia bersama ibu dan dua adiknya terus menyelamatkan diri keluar melalui pintu depan.

“Mujur kami dapat selamatkan diri, tapi semua barangan dalam rumah dan harta benda tak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Siti Noraiza Junoh, 41, berkata, dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Lundang sebagai guru Kelas Fardu Ain (Kafa) hanya menyedari kejadian itu selepas terlihat asap tebal di udara ketika berada di sekolah.

“Saya rasa tak sedap hati dan minta diri untuk pulang. Terkejut bila lihat rumah yang saya sewa bersama suami dan menetap dengan anak-anak musnah sekelip mata.

“Memang sebelum kejadian, saya tinggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci dan terus ke sekolah pagi semalam.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tak dapat selamatkan semua barang. Sekarang memang tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.36 petang.

“Kita bersama dua jentera dari Kota Bharu dengan kekuatan 24 anggota ke tempat kejadian bersama pegawai operasi, Che Mazlan Mohamed.

“Semasa kami sampai, kebakaran menyebabkan kemusnahan 80 peratus rumah kayu yang rapat dan cuaca pada ketika itu juga panas serta berangin,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan dua lagi kediaman berhampiran termasuk sebuah dewan orang ramai.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan berhubung punca dan jumlah kerugian,” katanya.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Baju Pok Ya Cong Codei laris

TANAH MERAH – Pok Ya Cong Codei terus mencetuskan fenomena apabila baju T eksklusif berdasarkan telefilem itu laris terjual bak ‘pisang goreng panas’ sejak mula dipasarkan, Selasa lalu.

Sehingga hari ini, lebih 2,000 helai baju keluaran Akademi Dikir Barat Arjunasukma yang mendapat lesen hak cipta daripada pengarah dan pelakon utama telefilem itu, Sabri Yunus dan syarikat produksi, Balang Rimbun, dijual.

Pengasas akademi, juga pengurus jualan produk itu, Muhd Sulhie Yusof berkata, selain sambutan luar biasa untuk baju T, pihaknya turut menerima permintaan tinggi dari seluruh negara untuk menjadi ejen jualan.

“Sekarang kita ada seramai 15 ejen jualan sah meliputi hampir 30 lokasi seluruh negara yang menjual secara terus dan ada juga jual melalui online,” katanya, semalam.

Menurutnya, pelancaran secara rasmi baju itu akan di-buat oleh Sabri di Kota Bharu pada 22 Februari ini.

“Sejumlah hasil jualan bagi setiap pembelian baju T ini akan disumbangkan kepada tabung wakaf bumbung Masjid Eh Chu di selatan Thailand,” katanya.

Sementara itu, pengedar sah daerah ini, Muhammad Azhar Zamiri Mamat berkata, lebih 200 baju berkenaan berjaya dijualnya dalam tempoh tiga hari.

Katanya, sambutan luar biasa itu menyebabkan dia berdepan kekurangan stok kerana baju tersebut turut diedarkan dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.

“Kilang tak mampu nak cetak banyak sekali gus, jadi saya dan pelanggan yang buat tempahan terpaksa tunggu stok sampai secara berperingkat.

“Sambutan memang luar biasa dan baju laku macam ‘pisang goreng panas’.

Saya tak sangka pengaruh dan fenomena Pok Ya Cong Codei sampai begini sekali,” katanya.

Tambahnya, baju itu dijual pada harga promosi RM25 untuk lengan pendek dan RM29 untuk lengan panjang.

Bagi seorang pembeli, Hazzely Hussain, baju itu dibelinya sebagai tanda sokongan kepada Sabri yang terkenal banyak mempromosikan loghat Kelantan asli dalam hasil seninya.

“Cerita arahan beliau juga istimewa kerana diselitkan dengan unsur-unsur nasihat dan dialek Kelantan digunakan adalah dialek asli.

“Ada juga drama lain guna dialek Kelantan tapi lebih kepada loghat moden. Sabri pula guna loghat percakapan orang-orang lama dan mengekalkan dialek asli Kelantan,” katanya.

Katanya, sebagai penyanyi, dia tidak keberatan mempromosikan produk itu sebagai tanda sokongan kepada Mohd Sulhie.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Bantu lonjak ekonomi Kelantan

KOTA BHARU – Usaha sama melalui pelaburan strategik A-BIO Sdn Bhd (A-BIO) dengan Ain Medicare Sdn Bhd (Ain Medicare) dalam industri bioteknologi perubatan mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi di Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, syarikat yang bertapak sejak tahun 1994 di kawasan perindustrian terbesar di negeri ini dengan pengeluaran RM300 juta setahun turut menyumbang RM30 juta kepada ekonomi Kelantan.

“Dengan kekuatan 1,200 pekerja ia memberi kesan kepada rakyat Kelantan dengan bayaran gaji bernilai RM2.5 juta. Kalau kilang ini tidak dapat meneruskan operasinya, maka Kelantan akan hilang RM30 juta.

“Bila rakyat dapat kerja mereka boleh beli rumah, kahwin dan berjasa kepada keluarga.

“Jadi dengan suntikan RM20 juta ini menunjukkan kepercayaan kerajaan menerusi A-BIO sebuah syarikat pelaburan strategik di bawah Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might), membantu Ain Medicare lebih berdaya saing dalam pasaran terbuka yang membawa pulangan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memeterai Perjanjian di antara A-BIO dan Ain Medicare di Kompleks Farmaseutikal Ain Medicare di Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, Pengerusi A-Bio, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah.

Sementara itu, Dr Mohd Yusof berkata, pelaburan dari A-BIO ini juga bertindak sebagai pemangkin untuk Ain Medicare menaik taraf produk farmaseutikalnya kepada yang lebih bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ia dicapai melalui fasiliti pembuatan tercanggih masa kini sejajar dengan misi A-BIO untuk membangunkan industri tempatan yang unggul dan berdaya saing dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.

Tambahnya, sejak ditubuhkan tahun 2009, A-BIO telah melabur dalam syarikat di tiga sektor utama iaitu industri berasaskan bio dan bioteknologi, industri teknologi baru muncul dan industri hijau.

Dalam pada itu, Wan Ariff berkata, di awal penubuhan dengan pelaburan RM20 juta Ain Medicare mengeluarkan produk steril dalam rangkaian terhad,  namun kini dipelbagaikan dan dibuktikan apabila Pelaburan Langsung Domestik mencecah RM255 juta untuk penambahan  kapasiti pengeluaran, teknologi automasi dan menampung permintaan ubat negara semakin meningkat.

Katanya, kejayaan mereka dikongsi dengan usahawan lain dengan melahirkan ramai usahawan kecil dan sederhana (SME), memiliki 180 vendor dan ia dapat dilihat melalui keberkesanan dalam menaikkan 81 syarikat  SME untuk pelbagai urusan berkaitan termasuk pengangkutan, kanister plastik, kotak pembungkusan, label, palet kayu dan servis kejuruteraan.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Sejuk tekak dengan ais kepal viral

SANGGUP beratur demi menyejukkan tekak dengan ais kepal!

Keenakan ais kepal diletakkan serbuk minuman Milo yang dibancuh pekat dan ditabur dengan kacang tumbuk, Oreo, Nestum dan Coco Crunch, kini menjadi rebutan di kawasan Demit, Kubang Kerian.

Menariknya, cetusan idea meniaga ais kepal dinamakan ‘Ice Kepal Lagend’ tersebut bermula apabila adik-beradik termasuk kakak ipar mereka berniat melangsaikan cukai Allahyarham bapa, Dr Nik Ahmad Amiruddin yang meninggal dunia sebulan lalu.

Diketuai anak keempat daripada lapan beradik, Nik Nur Afifah, 27, Nik Nur Adlina dan Nik Ahmad Afiq berkongsi modal bersama kakak ipar mereka, Nik Nur Raihan Nik Othman, 21.

Puluhan ribu perlu dilangsaikan

“Kami sangat sedih kerana kehilangan tunggak pencari rezeki keluarga iaitu bapa akibat sakit jantung.

“Banyak bil utiliti sampai di rumah termasuk cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan jumlah puluhan ribu ringgit perlu dilangsaikan, tekanan ini akhirnya menyebabkan kami nekad bantu ibu selesaikan masalah,” katanya.

Kata Nik Nur Afifah, idea meniaga ais kepal tersebut tercetus setelah melihat video ais kepal di Ipoh, Perak.

“Ais kepal ini adalah makanan kami sejak kecil, Nik Nur Adlina dan seorang lagi adik suka mereka cipta minuman begini, jadi atas hasrat bantu ibu (Che Hadawiah Che Long) langsai cukai bapa, kami berpakat meniaga.

“Arwah bapa seorang doktor dan ada klinik sendiri, oleh itu banyak tanggungan arwah semasa hayatnya.

“Sudah seminggu kami meniaga di hadapan kedai abang, Nik Ahmad Hakimi. Alhamdulillah, ada pelanggan yang ambil gambar dan video lalu mereka viralkan di media sosial Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Perniagaan ais kepal diletak Milo itu kemudiannya tular di laman sosial sejak seminggu lalu setelah menjadi tumpuan ramai sehingga jalan Demit-Kubang Kerian menjadi sesak dengan kenderaan yang berhenti membeli Ice Kepal Lagend.

50kg Milo sehari

Kata Nik Nur Adlina, dalam sehari dia memerlukan 50 kilogram Milo dan secara purata mampu menjual 700 mangkuk kertas ais kepal sehari.

“Buat masa ini, kami terpaksa mencari sumber Milo di merata pasaraya dan untuk selesaikan masalah ini, saya sudah menghubungi pihak Milo untuk dapatkan bekalan yang banyak.

“Majoriti yang datang adalah golongan belia dan segelintirnya orang dewasa yang terliur dan ada pelanggan sama membeli setiap hari,” katanya.

Mengharapkan perniagaannya maju, Nik Nur Afifah berkata, dia memasang impian untuk ada kedai kekal sendiri dan mahu membuka banyak cawangan, malah dia berharap ada pihak turut membantu mereka melebarkan perniagaan di negeri ini.

“Kalau ada yang ingin menempah ais kepal ini, kami akan berusaha memenuhi permintaan pelanggan bagi majlis rasmi dan kenduri perkahwinan,” katanya.

Mereka mengambil inisiatif memakai penutup hidung (mask) bagi menjaga kebersihan semasa menyediakan ais kepal yang berharga RM4 semangkuk.

Sementara itu, Nur Irdina Mazlan, 21, dari Tendong, Pasir Mas berkata, dia sanggup beratur panjang kerana teruja dengan cerita keenakan ais kepal.

“Saya bersama rakan, Syaridatul Atirah Zulkifli, 21, dari Wakaf Stan beratur untuk beli tujuh bekas ais kepal,” katanya.

Bagi Mohd Izzudin, 28, dari Kampung Melawi, Bachok, dia menjadi ‘runner’ jual ais kepal yang dihantar mengikut lokasi COD (cash on delivery) ke tempat pelanggan sebagai inisiatif mencari rezeki tambahan.

“Lagipun ais kepal ini benda baru di sini, ramai yang tertarik dan ingin mencuba, sebab itu ramai yang beratur panjang,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Lelaki selamat dari rentung

KOTA BHARU – Seorang pemuda terselamat daripada rentung susulan tindakan pantas orang ramai yang berjaya mengeluarkannya dari kenderaan yang terbakar.

Mangsa sebelum itu terlibat dalam kemalangan di Jejambat Pasir Pekan-Kota Bharu, di sini, tadi.

Mangsa, Che Mohamad Putra Che Hisham, 26, berseorangan memandu kereta jenis Perodua Myvi dari Wakaf Bharu, Tumpat mengahala ke Kota Bharu terbabas sebelum melanggar pengadang jalan pada jam 7.30 pagi.

Tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu diketui Pegawai Bomba Kanan II, Ismadi Mohamad Taib bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Mangsa yang cedera di muka dan kaki dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Cubaan seludup mercun gagal

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan cubaan menyeludup mercun dan bunga api dalam serbuan di Pangkalan Haram Zulkifli di Kampung Simpangan malam tadi.

Serbuan itu dilakukan pada jam 9.30 malam hasil intipan dan untuk masuk ke pangkalan haram itu perlu memanjat dinding pagar setinggi empat meter.

Pegawai Pemerintah  PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, ketika serbuan dilakukan sekumpulan penyeludup sedang memunggah kotak ke dalam dua buah lori Isuzu yang sedang menunggu di pangkalan tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, mereka bertindak terjun sungai Golok dan menghilangkan diri dalam semak tebing sungai tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor pagi ini.

Ahmad Amri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit menemui 76 kotak dengan 41 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenis.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM280,000 termasuk dua buah lori terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mercun ini untuk pasaran tempatan yang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Tak perlu lagi ambil air bersih kampung lain

BACHOK – Masalah air bersih yang membelenggu penduduk sekitar Kampung Pantai Senak sejak lebih 45 tahun lalu akhirnya selesai apabila projek nyahgaram air laut yang dikelolakan universiti tempatan berjaya dilancarkan semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek penyelidikan di bawah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu bermula tahun lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan.

Beliau berkata, projek bernilai RM5 juta itu kini memberi manfaat kepada 3,000 penduduk setempat yang sebelum ini perlu mengambil air bersih di kampung lain.

“Projek ini diketuai Timbalan Naib Canselor UTM (penyelidikan dan inovasi), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail yang juga orang Kelantan.

“Loji air bersih ini mampu menghasilkan air bersih terawat dengan kapasiti 500,000 liter sehari. Sistem ini berupaya menapis dan merawat sumber air mentah dari laut sekitar kawasan Pantai Senak ini. Diharap ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat sekaligus membangunan sektor ekonomi di sini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan loji nyahgaram air laut di Pantai Senak hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain; Penyelaras Dun Tawang, Datuk Mohd Radzuan Abdullah; Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar; dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Cari rawatan, pendidikan anak autism

KOTA BHARU – Kanak-kanak yang mempamerkan tingkah laku mencabar sering disalah tafsir sebagai nakal atau kurang pendidikan, namun sebenarnya ada dalam kalangan mereka adalah autism.

Penyelaras program Forum Autism, Dr Nik Aida Nik Adib berkata, usaha mengadakan forum tersebut sekurang-kurangnya memberi ruang kepada ibu bapa bertanya sebanyak mungkin mengenai permasalahan yang dihadapi bermula dari anak disahkan mempunyai autism, hingga seterusnya termasuk perawatan serta pendidikan.

“Selain kesedaran dan pengetahuan tentang perawatan yang ditawarkan di fasiliti kesihatan, sokongan yang perlu diberi dan jenis pendidikan sepatutnya diterima juga perlu ditekankan.

“Di sini (melalui forum) juga, ibu bapa berpeluang bertanya semasa anak mengikuti rawatan atau intervensi bagi autism, jadi di sini mereka boleh rujuk untuk kebaikan masa depan anak-anak,” katanya selepas Forum Autisme: Cara Perawatan, Sokongan dan Hala Tuju Pendidikan Yang Perlu Diketahui oleh Ibu Bapa, di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, hari ini.

Forum berkenaan dihadiri hampir 200 peserta yang terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak autisme seluruh Kelantan.

Turut hadir, Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Masyarakat, Dr Mohd Ismail Ibrahim, Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Masyarakat, Prof Madya Dr Azriani Ab Rahman @ Berahim, Pensyarah Jabatan Pasikiatri, Dr Raishan Shafini Bakar.

Forum tersebut melibatkan beberapa panel jemputan termasuk Pakar Perunding Neurologi Kanak-kanak, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Ketua Penolong Pengarah Bahagiam Warga Emas dan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, HRPZ II, Salbani Daud.

Dr Nik Aida berkata, untuk mengenalpasti anak-anak autism, kadang-kala ibu bapa sendiri keliru kerana mereka sudah cuba mendidik anak tersebut, tetapi didikan yang diberikan tidak berkesan.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, ada anak autism tidak mempunyai sebarang tanda fizikal dan mereka mengalami kecelaruan fungsi urat otak atau dalam istilah perubatan kecelaruan neurological (neurological disorder) yang memberi impak negatif kepada perkembangan otak.

“Urat saraf otak kanak-kanak yang mengalami autism tidak berfungsi seperti anak-anak lain.

“Untuk memahami kecelaruan ini, kita boleh umpamakan urat saraf otak kanak-kanak yang celaru di dalam sesebuah bilik, yang mana, wayar elektrik yang bercelaru akan menyebabkan alat elektrik di dalam bilik itu tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Bagi Bapa, Mohd Ghazali, berkata, anak sulungnya dari empat beradik, Muhammad Shafiq, 14, dari Kampung Banggol Pasir Mas dikenalpasti mengalami autism sejak usia empat tahun.

“Dua kali sebulan kami mendapatkan rawatan dan fisioterapi daripada HRPZ II dan Alhamdulillah apabila bersekolah, banyak perkara berfaedah membantu anak kami termasuk dapat tahu bakat serta kemahiran,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Elak anak terlibat jenayah seksual

KOTA BHARU – Masyarakat perlu bertanggungjawab dan menyokong usaha dilakukan Pertubuhan Ikram (Ikram) Malaysia dalam menangani jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram  Pusat (Ikram), Dr Hafidzah Mustakim berkata, banyak jenayah seksual ke atas kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dipercayai dan terdekat dengan kanak-kanak.

Dr Hafidzah berkata, jenayah seksual sekarang lebih teruk dan mudah berlaku disebabkan sumber pornografi itu boleh didapati di hujung jari sahaja.

“Apa yang berlaku di Malaysia ini, tidak mustahil berlaku di Kelantan sebab selagi ada internet sumber-sumber seks ini boleh diperoleh dengan mudah. Ibu bapa kena berhati-hati.

“Macam saya sebut tadi ada satu kes berlaku di sebuah tadika di daerah ini  apabila seorang kanak-kanak datang dalam keadaan jalan terkangkang.

“Apabila disiasat dia terlibat dengan penderaan seksual yang dilakukan  datuk tirinya. Jadi semua pihak kena ambil tahu  dengan keadaan sekeliling supaya kita dapat mengatasinya dengan cepat,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan Malaysians Against Pornography peringkat negeri Kelantan yang turut dihadiri Ketua Wanita Ikram Kelantan, Dr Norhani Abd Rani.

Majlis tersebut melibatkan lebih 40 peserta mewakili 25 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di sini semalam.

Dr Hafidzah juga berkata, satu contoh lain yang berlaku di negeri ini baru-baru ini ialah seorang pelajar berusia tujuh tahun diliwat oleh budak lelaki berusia 11 tahun ketika mengikuti kem cuti sekolah.

“Lebih teruk lagi apabila mangsa itu pula cuba melakukan perkara sama di sekolah dan  menunjukkan kemaluannya kepada rakan-rakan di sekolah.

“Sebab itulah kita minta ibu bapa mengawal aktiviti anak-anak terutama apabila menggunakan internet kerana secara tidak sengaja boleh mencetuskan kepada perlakuan perkara tidak sihat,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN

Penduduk jumpa tapak kaki harimau dalam kebun getah

KUALA KRAI – Penoreh getah sekitar Lepan Anjung,Dabong risau keselamatan mereka terancam setiap kali keluar mencari rezeki di kebun masing-masing berikutan kehadiran harimau, sejak seminggu lalu.

Penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada menoreh getah berharap pihak berkuasa segera bertindak bagi membolehkan mereka keluar melaksanakan rutin harian mereka tanpa sebarang gangguan.

Walaupun haiwan berkenaan berkeliaran di kawasan kebun mereka penduduk tetap melakukan rutin harian kerana baharu seminggu dapat menoreh berikutan musim tengkujuh sejak bulan lalu.

Penduduk,Zubaidah Teh, 43, berkata suaminya,Ismail Mamat, 53, tetap keluar menoreh walaupun terjumpa kesan tapak kaki harimau di kebunnya, Khamis lalu.

Menurutnya enam daripada tujuh anaknya masih bersekolah menyebabkan suaminya ketepikan rasa takut untuk keluar mencari rezeki.

“Suami dapat menoreh tiga hari lalu kerana kurang sihat, disebabkan sekolah hampir dibuka tidak lama lagi, suami tetap keluar menoreh walaupun takut.

“Anak ramai bersekolah, jadi perbelanjaan keperluan sekolah juga agak banyak,” katanya.

Zubaidah berkata, sebelum cuti sekolah, hanya suaminya keluar menoreh getah, tetapi sejak kebelajangan ini dia menemaninya kerana bimbangkan keselamatannya.

“Jika sebelum cuti sekolah hanya suami keluar menoreh, tetapi sekarang saya temani suami untuk kurangkan rasa takutnua,” katanya yang berharap tidak terserempak dengan haiwan itu sepanjang menemani suaminya menoreh getah.

Sementara itu, Jabatan Perhilitan Kelantan akan memasang perangkap untuk menangkap harimau yang dipercayai berada di sekitar kebun getah di Lepan Anjung.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata,beliau menerima laporan ancaman harimau daripada penoreh getah  minggu lalu.

“Esok kita akan pasang perangkap,” katanya.

 

SUMBER: SINAR HARIAN