All posts by admin

Pulangkan balik sampah ke rumah

NOOR AZLIDA ALIMIN
3 APRIL 2016

GUAL TO’ DEH – Pemimpin tempatan di Kampung Gual To’ Deh mungkin menggunakan pendekatan meletakkan papan amaran berunsur sinis kepada penduduk yang masih berdegil membuang sampah di sepanjang jalan di sini.

Alias Ghazali, 44 berkata, kurangnya kesedaran diri dalam kalangan penduduk, bukan hanya mencacatkan pemandangan malah menyebabkan pencemaran bau.

Menurutnya, mereka tertarik dengan pendekatan penduduk di Kampung Kubang Chenok yang membuat papan tanda arahan larangan membuang sampah, menggunakan nasihat berunsur sinis.

“Sebelum ini ada penduduk menyuarakan pendapat itu dan jika masih ada penduduk berdegil, kita mungkin menggunakan pendekatan sama. Lebih teruk, kita mungkin akan mengembalikan sampah berkenaan ke rumah mereka,” katanya selepas aktiviti gotong-royong membersihkan sampah di Jalan Gual To’ Deh.

Dalam program ini, seramai 50 penduduk termasuk Jemaah Masjid To’ Deh bekerjasama membersihkan jalan sepanjang 500 meter.

Sementara itu, penduduk, Mohktar Ahmad, 45, kecewa apabila nasihat yang disampaikan imam setiap kali selesai solat Jemaah, sebelum ini tidak diendahkan.

Menurutnya, bagi memudahkan kerja membersih, mereka terpaksa mengupah perkhidmatan jengkaut setiap kali program gotong-royong diadakan.

“Lebih buruk, apabila musim tengkujuh, arus banjir menyebabkan sampah memenuhi pekarangan rumah dan mengeluarkan bau busuk. Sampah itu jugalah, yang menyebabkan saliran dan longkang tersumbat seterusnya menyebabkan berlakunya banjir termenung di sini,” katanya.

Rahmat El Nino kepada penanam tembikai

ROSMIZA KASIM
3 APRIL 2016

KOTA BHARU – Biarpun Kelantan dilanda musim panas yang melampau namun hasil pengeluaran tembikai wangi, Apollo dan Puteri Kencana di Projek DiRaja Kampung Banggol tidak terjejas.

Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Fauzi Mohamed berkata, beliau menjangkakan antara 500 hingga 600 metrik tan (MT) buah-buahan tersebut dapat dikutip pada  musim ini melibatkan 24 hektar penanaman.

“Tahun ini seperti sedia maklum kita dilanda El Nino, tetapi Alhamdulillah rezeki orang di sini, walaupun cuaca panas dengan keadaan tanah yang berpasir  pengeluaran  nampak banyak kali ini,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau turun padang bersama media meninjau proses jual beli hasil tanaman di Kampung Banggol antara pemborong yang dilantik.

Fauzi berkata, hasil pengeluaran yang memberangsangkan itu juga dibantu berdasarkan inisiatif 29 penanam di kawasan it

“Di sini setiap peserta ada punca air sendiri, tidak ada masalah.  Tembikai wangi ini bila  cukup air  pengeluaran akan baik,” katanya.

Tambahnya, pada hari pertama sahaja pihaknya membeli sebanyak 114 MT daripada 13 penanam, manakala hari ini dijangkakan 100 MT berjaya dibeli.

Kes dadah bernilai RM12j dipatahkan

NOOR AZLIDA ALIMIN
30 MAC 2016

RANTAU PANJANG – Polis Kelantan berjaya mematahkan kes dadah bernilai lebih RM12 juta iaitu peningkatan 671 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, jumlah kes yang direkodkan sehingga 25 Mac lalu adalah sebanyak 17 peratus, manakala tangkapan sebanyak 22 peratus.

Menurutnya, angka ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 15.5 peratus dan 15.3 peratus.

“Tahun lalu sahaja, jumlah rampasan dadah jenis syabu, erimin 5 dan ubat batuk menunjukkan peningkatan masing-masing 4.5 peratus, 76 peratus dan 57 peratus.

“Ekstasi mengungguli statistik berkenaan apabila mencatatkan 100 peratus peningkatan,” katanya.

Mazlan berkata, begitu juga dengan dadah yang popular di Kelantan iaitu pil kuda apabila 411,218 biji dirampas sepanjang tahun lalu, dengan jumlah sitaan sehingga ke hari ini pula lebih RM4.83 juta.

Beliau ber kata, tahun lalu, seramai 14,299 penjenayah ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di Kelantan, dengan 121 daripadanya merupakan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Berdasarkan kes tangkapan itu, 70 peratus daripadanya berjaya dihadap ke mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya selepas Pelancaran Memerangi Dadah Habis-habisan sempena Hari Peringatan Polis ke-209, semalam.

Di majlis yang diadakan di Padang Sasar Bukit Pak Junoh Pasir Mas itu, beliau turut memusnahkan dadah rampasan sebanyak RM1.2 juta melibatkan 2,531 kes siasatan jenayah narkotik.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Moh Samsuddin Yusof; Pengarah Alam Sekitar, Hamzah Mohamad; Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Tawfik Teow Abdullah dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Dr Che Hamat Che Muda.

Bot bawa kaki pancing hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 MAC 2016

BACHOK – Sebuah bot kelas A yang membawa 11 penumpang dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut untuk memancing pada Jumaat (25 Mac) lalu.

Bot milik Afendi Hussin, 36, itu keluar dari Kuala Kemasin membawa lapan pemancing yang menyewa pakej bot bersama seorang tekong dan dua awak-awak.

Difahamkan, bot itu sepatutnya pulang pada Ahad (27 Mac) namun ia tidak dapat dihubungi menggunakan ‘rig mobile’ sejak petang Sabtu.

Bot dengan nombor pendaftaran TFA 1382 itu dikatakan keluar membawa pemancing berdekatan pelantar minyak lawit petang Jumaat dan sepatutnya pulang pada Ahad.

Bimbang situasi buruk berlaku, Afendi segera membuat laporan polis semalam (Isnin) untuk membolehkan pihak berkenaan membuat pencarian di sekitar laluan bot berkenaan.

Salah seorang ahli keluarga mangsa, Mazlan Ismail, 38, berkata, dia hanya mengetahui kehilangan bot yang membawa abang iparnya, Nik Mohd Syukri Nik Mustafa, 49, selepas dimaklumkan rakan-rakannya semalam.

“Abang ipar saya mengikuti rombongan memancing dari kampung kami di Pantai Cahaya Bulan. Ini kali pertama dia pergi jauh ke pelantar minyak sebab biasa dia naik bot fiber sendiri dan memancing berdekatan kampung kami sahaja.

“Lepas dapat tahu hal itu saya hubungi rakan kepada pemilik bot di Pengkalan Petah dan benar dimaklumkan sebuah daripada tiga bot yang keluar bersama itu tak balik. Setakat ini saya masih belum dapat khabar sah mengenai bot yang membawa abang ipar saya itu, tetapi saya sendiri akan pantau melalui radio di pejabat ini. Saya harapkan kita sama-sama doakan mereka ditemui dengan selamat,” katanya yang bertugas di Pejabat Perikanan Tawang.

Katanya, Nik Mohd Syukri seorang kontraktor binaan dan mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya yang dikenali sebagai Nor Izati.

Belum ada berita

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Mohd Saripudin Isahak ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat berita mengenai bot berkenaan walaupun ada beberapa berita tersebar menerusi kumpulan WhatApps memaklumkan penemuan bot berkenaan yang selamat, namun hanyut berhampiran Thailand akibat rosak.

“Bot mereka berpecah dengan kumpulan bot-bot lain ketika keluar memancing hari itu. Setakat jam 1 petang ini (semalam) kita tak dapat sebarang maklumat kerana tak dapat hubungi mereka melalui radio. Kita hubungi Pulau Perhentian pun tak ada di sana.

“Biasanya kalau keluar memancing, tempoh dua tiga hari adalah kelaziman sebab perjalanan pun sudah mengambil masa hampir 20 jam. Kalau guna bot laju boleh sampai dalam lapan jam, tetapi kalau bot biasa ambil masa hingga 11 jam. Alhamdulillah, kita bersyukur kalau mereka selamat ditemui di Thailand. Tak mustahil juga bot mereka hanyut ke situ sebab lokasi pelantar minyak Lawit itu juga berdekatan sempadan Vietnam,” katanya.

Jelasnya, pihaknya tidak mengizinkan bot nelayan biasa turut keluar mencari disebabkan faktor keselamatan berikutan angin kencang dan ombak agak besar.

Katanya, petang Sabtu lalu juga sudah ada bot sekoci yang pecah akibat dibadai ombak. Dalam kejadian kira- kira jam 2 petang itu, Abdul Aziz Him, 62, bersama anaknya selamat selepas berjaya berenang ke tebing berhampiran.

Usaha mencari giat dilakukan

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkenaan daripada Afendi dan gerakan mencari segera dilakukan semalam menggunakan bot Penggalan 18 dan Penyelamat 7.

“Jarak di antara Pelantar Lawit dari Tok Bali ialah 65 batu nautika dan dari Kemasin ialah 64 batu nautika. Hari ini gerakan mencari diteruskan menggunakan aset Penyelamat 7 dan KM Amanah,” katanya.

Difahamkan, di Kuala Kemasin terdapat beberapa pemilik bot yang menyediakan kemudahan pakej bot untuk kaki pancing yang gemarkan aktiviti itu pada hujung minggu, termasuk pemancing dari luar Kelantan.

Antara nama pemancing yang diperoleh ialah Zakaria Kadir, 54; Mohd Suhaimi Abdul Kadir @Ghazali, 34; Nik Mohd Shukri Nik Mustafa, 49; Mohd Zaidi, 30; Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31; Mohd Zaidi Yaacob, 41; dan Suhaimi Mat Jusoh, 33.

Sungai Golok berubah jadi pantai

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 MAC 2016

RANTAU PANJANG – Sungai Golok berubah seakan-akan pantai apabila pasir mula memenuhi tebing di sempadan, sejak beberapa minggu lalu.

Seorang penduduk, Sapuan Ahmad, 50, berkata, penurunan paras air di sungai ini, biasanya berlaku setiap kali musim panas bermula Mac hingga Jun.

Menurutnya, keadaan ini menjadikan Sungai Golok sebagai kawasan tumpuan terutama kepada ibu bapa yang membawa anak-anak untuk bermain air di kawasan cetek.

“Ada sesetengah kawasan tidak boleh dilalui oleh perahu atau bot kerana dasarnya yang terlalu cetek. Sungai ini juga dipenuhi kayu dan batu yang boleh merosakkan kenderaan tersebut,” katanya.

Sapuan berkata, walaupun ditemani orang tua, namun mereka mengawasi anak-anak, kerana ada sesetengah kawasan agak berbahaya untuk sebarang aktiviti.

Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah bilangan anggotanya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang, berikutan penurunan paras air di Sungai Golok, yang dilihat memudahkan berlakunya aktiviti jenayah rentas sempadan.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, usaha itu dilakukan bagi meningkatkan kawalan sempadan, di kedua-dua negara.

Menurutnya, anggota dari 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan di kawasan sempadan itu bagi membantu anggota Empat Rejimen Sempadan (RS).

Katanya, operasi bersepadu ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand.

Tinjauan mendapati tiada sebarang aktiviti menyeberang dilakukan sebaliknya kawasan ini dipenuhi penduduk yang keluar beriadah setiap petang.

Malah aktiviti mengemudi perahu turut dihentikan di beberapa kawasan kerana Sungai mulai cetek dan dipenuhi pasir, kayu dan batu.

Tindakan pantas bomba selamat nyawa suami isteri

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 MAC 2016

KOTA BHARU – Tindakan pantas anggota bomba mengejutkan pasangan suami isteri yang sedang tidur di tingkat atas salah sebuah deretan enam kedai terbabit kebakaran berhampiran lampu isyarat Taman Maju, di sini berjaya menyelamatkan pasangan itu.

Pasangan terbabit, Irish 27, dan Wilson, 29, hanya sedar dari tidur kira-kira jam 8 pagi selepas pintu tingkat atas bangunan rumah kedai, diketuk anggota bomba sehingga mereka terkejut dan bangun menyelamatkan diri.

Irish berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya sering tidur di tingkat atas bangunan kedai aksesori kereta milik suaminya dan tidak sedar kedai sebelah premisnya terbakar.

“Terkejut dengan dengan kejadian itu, saya dan suami hanya dapat capai dokumen penting dan terus lari menyelamatkan diri.

“Mujurlah kedai kami tidak terbakar namun panik juga apabila kebakaran hanya berlaku betuk-betul di sebelah kedai, namun mujurlah kami sempat menyelamatkan diri, jika tidak kami tak tahulah nasib kami” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, dalam kebakaran terbabit, enam unit kedai termasuk perkakasan rumah, bengkel kereta dan aksesori musnah sekali gus dalam kebakaran terbabit.

Zaini berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.04 pagi.

“Kita tiba di lokasi lima minit kemudian dan ketika sampai hampir 40 peratus kebakaran telah merebak.

“Kita berjaya kawal kebakaran sekitar jam 9.14 dan ambil masa lebih sejam selepas itu untuk padam sepenuhnya,” katanya.

Zaini berkata, kebakaran cepat merebak ekoran struktur bangunan terdiri dari binaan papan dan merupakan bangunan lama.

“Mujurlah kita dapat mengawal api dari merebak ke sebelah kedai aksesori kereta milik pasangan suami isteri yang sedang tidur yang jaraknya hanya bersebelahan dan berjaya kawal api sepenuhnya dengan bantuan anggota dan pegawai dari balai Kota Bharu, Tunjung, Darul Naim termasuk menggunakan tangki air.

“Punca dan kerugian akibat kebakaran masih disiasat,” katanya.

Yeo’s, Sinar Harian singgah sekolah

ROHANA ISMAIL& SAPINAH AB GHANI , FOTO: JAZALY AMRY JAAFAR
29 MAC 2016

SIRI Jelajah Perut Sihat Bersama Yeo’s Yeogurt dan Sinar Harian kembali untuk edisi 2016 dengan memilih 20 sekolah di negeri Pantai Timur.

Bermula kelmarin, Skuad Renjer Sekolah Yeo’s dan Sinar Harian membuka tirai program perkongsian membina minda berkaitan kesihatan di destinasi pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung dan SK Pasir Pekan, Tumpat.

Siri jelajah hari kedua pula diteruskan ke SK Kebangsaan Sultan Ismail 4 dan SK Semut Api, Kota Bharu, dengan penuh pengisian berguna kepada murid terlibat.

Gabungan antara Yeo’s dan Sinar Harian itu bertujuan memberi kesedaran kepentingan penjagaan usus sambil diselangi sesi pembacaan bagi memperkasakan minat membaca surat khabar dalam kalangan murid sekolah.

Skuad Renjer Sekolah Yeo’s diketuai Wan Nur Ayuni Wan Hilmi berkata, program penuh manfaat ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dan mendidik murid seawal sekolah rendah mengenai kepentingan sistem penghadaman dan penjagaan usus.

“Kami juga berkongsi amalan baik dan memperkenalkan kebaikan Yeo’s Yeogurt kerana ianya berkaitan penjagaan usus.

“Yeo’s Yeogurt mengandungi susu dan asid laktik yang dapat membantu sistem pencernaan badan secara berkesan,” katanya.

Setiap murid dibekalkan sekotak Yeo’s Yeogurt dan senaskhah akhbar Sinar Harian atas tajaan sepenuhnya Yeo’s di setiap sekolah terlibat siri jelajah ini.

Di Kelantan, Siri Jelajah Perut Sihat Bersama Yeo’s Yeogurt melibatkan 10 sekolah dan berjaya mengumpulkan 5,000 murid yang turut dimeriahkan dan disertai, Penolong Pengurus Bahagian Pemasaran Sinar Harian, Rozalina Mohamed.

Di SK Pasir Pekan, siri jelajah ini lebih meriah apabila dihadiri Penyelia Pendidikan Pencegahan Dadah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat, Hamidi Che Said.

Hamidi berkata, program ini sangat baik kerana mendedahkan murid mengenai aspek kesihatan terutama sistem penghadaman.

“Ia informasi berguna kepada murid, ilmu yang diperoleh boleh disebarkan kepada ibu bapa dan adik beradik di rumah,” katanya.

Diakui pendekatan terbaik

Manakala di Kota Bharu, keberkesanan program secara santai tersebut turut diakui warga SK Semut Api dan SK Sultan Ismail 4.

Guru Besar SK Semut Api, Wan Mohamed Azemi Wan Yaacob, berkata, ia antara pendekatan terbaik, aktiviti pembelajaran yang selari dengan kehendak arus pendidikan perdana abad ke-21.

Menurutnya, di samping memberi pendedahan aspek kesihatan, siri jelajah ini dilihat berjaya meningkatkan keyakinan dan semangat kira-kira 400 murid sekolah berkenaan.

“Kami mengalu-alukan program seperti ini, kerana ia bukan sahaja mendedahkan pelajar dengan aktiviti pembelajaran di luar kelas, malah mengembangkan kecerdasan minda mereka,” katanya.

Murid, Mohd Hakimi Amran, 12, mengakui teruja mengikuti aktiviti diadakan dan berterima kasih kerana memilih sekolah mereka.

Bagi guru SK Sultan Ismail 4, Shalkis Samihah Ismail turut mengakui banyak pendedahan diperoleh murid.

Beliau yang juga guru Muzik dan Bahasa Melayu berkata, siri jelajah berkenaan secara tidak langsung membantu memperkenalkan Sinar Harian dalam kalangan murid.

Seorang lagi guru SK Sultan Ismail 4, Ahmad Murdani Yusoff berkata, program lebih sejam itu memberi input berguna kepada lebih 500 murid sekolah berkenaan.

“Program ini turut membantu meningkatkan kemahiran kendiri murid melalui pembelajaran luar kelas apabila mereka berani menonjolkan diri,” katanya.

Sanggup berpanas cari rezeki

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 MAC 2016

TANAH MERAH – Cuaca panas melampau disebabkan fenomena El Nino yang melanda negara, tidak menghalang seorang lelaki warga emas dari Kampung Bukit Gading, di sini, mengayuh basikal lebih 10 kilometer sehari demi mencari rezeki.

Mohd Shafeen Mat Zin, 63, berkata, walaupun terpaksa berbasikal di bawah panas terik kerana hanya keluar menjaja selepas solat Zohor sejak dua tahun lalu, dia tiada pilihan selain terus bertahan dengan keadaan cuaca sekarang.

Menurutnya, dengan menjaja kuih di sekitar Bukit Gading, Bukit Mas dan Alor Pasir, dia hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM30 sehari jika semua barangan jualannya habis.

“Selepas solat Zohor, saya terus keluar menjaja dan hanya pulang jam 7.30 malam. Panas memang panas, tetapi nak buat macam mana, saya terpaksa bersabar sebab sudah lumrah cari makan,” katanya.

Mohd Shafeen berkata, sebelum keluar menjaja, dia turut menoreh di sebelah pagi untuk menambah pendapatan, walaupun harga getah terlalu murah apabila dia hanya mampu mendapat RM10 sehari.

Katanya, hanya dia seorang yang bekerja untuk menyara hidup kerana isterinya, Zaiton Ahmad, 58, tidak dapat bekerja apabila sering masuk hospital berikutan penyakit lelah dihidapinya.

“Dia tak boleh tersalah makan. Kalau tersalah makan, dia akan diserang lelah dan selalunya sampai terpaksa masuk hospital. Kami cuba mohon bantuan kebajikan untuk dia, tapi gagal,” katanya.

Justeru, Mohd Shafeen berharap pihak berkaitan dapat menimbang semula permohonan isterinya itu bagi mendapatkan bantuan bulanan, terutama untuk menampung kos rawatan penyakit.

Sementara itu, Mohd Shafeen yang masih memegang pasport Thailand walaupun sudah 33 tahun tinggal di negara ini, berharap ada pihak dapat membantu hasratnya untuk mendapat status kewarganegaraan dan memiliki MyKad.

“Sudah banyak kali saya cuba mohon dengan bantuan beberapa orang yang janji nak tolong dapatkan kad pengenalan, tetapi semuanya kena tipu sampai rugi beratus-ratus ringgit,” katanya

Projek siap sebelum Ramadan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 MAC 2016

BACHOK – Masjid Tok Bakar memerlukan sumbangan bagi menyelesaikan pembinaan fasa kedua sebelum Ramadan tahun ini.

Setiausaha masjid, Mohd Zaki Zakaria berkata, masjid itu pada mulanya ialah sebuah madrasah yang dibina daripada pohon nibong di Kampung Tok Burung, berdekatan Pantai Irama kira-kira 45 tahun lalu.

Namun, katanya, jawatankuasa masjid sepakat membina bangunan kekal dan menaik taraf ia menjadi masjid selari kepadatan penduduk sekitar.

“Pada Mei 2015, dua minggu sebelum Ramadan kerja-kerja pembinaan fasa satu iaitu bilik wuduk dan dua tandas muslimat dimulakan dengan dana permulaan RM1,250 sedangkan kos sebenar dianggarkan sebanyak RM12,000.

“Alhamdulillah pertengahan Ramadan tahun lalu ia siap sepenuhnya dengan wang sumbangan orang ramai melalui majlis jamuan laksa sambil menderma dan hebahan dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp,” katanya.

Katanya, bagi fasa kedua, jawatankuasa masjid berhasrat menyiapkan bahagian tingkat bawah bangunan terlebih dahulu untuk membolehkan jemaah mengerjakan solat lima waktu dan tarawih di situ.

“Pembinaan fasa dua sudah berjalan sejak lima minggu lalu dengan dana permulaan RM18,000 dan kos keseluruhan dianggarkan menelan belanja RM350,000.

“Kini dana terkumpul ialah sebanyak RM56,662.57 dan kemajuan pembinaan sudah 30 peratus. Untuk sumbangan, boleh menyalurkan ke akaun Agro Bank 2-00-6631-00001126-0 di atas nama Masjid Tok Bakar,” katanya.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Mohd Zaki di talian 019-986 3003 dan untuk perkembangan kemajuan pembinaan boleh melayari laman www.facebook.com/masjidtokbakar.

Gaji punca penganggur belum dapat pekerjaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 MAC 2016

KOTA BHARU – Tawaran gaji tidak menepati cita rasa menjadi antara punca  kebanyakan penganggur yang masih belum mendapat sebarang pekerjaan.

Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Kebangsaan (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim berkata, dengan keadaan semasa kini, mereka berharap gaji yang bakal diperoleh itu mampu dan setimpal dengan apa yang mereka dilakukan.

“Walaupun gaji minimum adalah RM900, namun tidak semua orang cukup dengan jumlah tersebut, walaupun mereka masih belum berkahwin dan sebagainya.

“Malah bagi saya, tidak salah jika agensi dan syarikat sedia ada memberi imbuhan dan bonus kepada mereka berdasarkan prestasi kerja dan sebagainya. Itu akan memberi satu semangat baharu kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai jumlah 400,000 orang penganggur dan mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan mengikut pendaftaran di laman portal Jobs Malaysia.

Menurutnya, walau bagaimanapun, pengangguran adalah perkara biasa bagi sebuah negara yang maju, dan sebagai warga belia, mereka mesti bersedia untuk menjadi calon-calon mengikut keperluan pasaran kini.

Syahbuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan (MBK) berkata, selain mengintai peluang daripada pihak kerajaan, orang muda digalakkan supaya sentiasa mencipta peluang kerja dengan memulakan pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Syahbuddin juga berkata, sikap memilih kerja adalah antara sebab kenapa orang muda kini sukar mendapat pekerjaan.