Sinar Harian

Al-Quran bentuk integriti kerja

KOTA BHARU – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakui al-Quran bukan sahaja memberi petunjuk kepada umat, malah menerusinya, banyak perkara melibatkan pekerjaan boleh dijadikan panduan.

Perkara tersebut diakui Pengurus Besar TNB Negeri, Datuk Ir Md Yuslan Md Yusof yang mahu kira-kira 1,500 kakitangannya menyertai Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) pada Isnin ini.

“Al-Quran diturunkan pada Ramadan untuk dijadikan pedoman kepada umat manusia dan TNB berharap semoga dengan kehadiran bulan al-Quran, ia memberi anjakan paradigma  untuk kakitangan bekerja dengan lebih baik.

“Kita jadikan kerja di TNB ini sebagai satu ibadah jariah di negeri abadi, malah warga kerja diminta menjadikan al-Quran sebagai petunjuk bagi membentuk kerja lebih berintegriti, berdedikasi dan berdisiplin,” katanya.

Md Yuslan berkata, sebagai pekerja, al-Quran juga dijadikan panduan semasa memikul tanggung jawab diberikan kerana di dalamnya terkandung hukuman dan petunjuk.

“Kalau mereka mempunyai masalah, rujuklah al-Quran sebagai pedoman. Dalam usaha memartabatkan al-Quran ini, TNB mempunyai Persatuan Kebajikan Pekerja Islam di seluruh Kelantan yang menganjurkan sesi membaca al-Quran pada waktu rehat iaitu dari jam 1 petang hingga 2 petang di semua stesen.

“Kami menyokong penuh Program #QuranHour kerana ia satu langkah baik dalam mengingatkan semua umat Islam agar sentiasa memberi lebih perhatian kepada al-Quran, sekali gus menyuluh  kita menuju ke jalan ALLAH SWT,” katanya.

Sumber: SInar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *