Sinar Harian

14 ditahan jual mercun, bunga api

KOTA BHARU – Tindakan penjual mercun yang secara terbuka menjual bahan larangan itu di tapak bazar Ramadan sekitar bandar ini akhirnya membawa padah apabila 14 peniaga yang menjual bahan letupan itu ditahan dalam pemeriksaan bermula 5 Jun hingga kelmarin.

Pemeriksaan dan rampasan dilakukan pada waktu perniagaan sekitar jam 4.40 petang sehingga awal pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff berkata, pihaknya bertindak melakukan pemeriksaan di 13 tempat termasuk kawasan Wakaf Che Yeh, pasar malam Parit Dalam selain sebuah rumah di Nilam Puri.

“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, kita tangkap 12 lelaki dan dua wanita yang merupakan peniaga mercun dan bunga api tanpa lesen berumur antara 17 hingga 40 tahun.

“Kita turut merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dengan nilai rampasan melebihi RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Menurutnya, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kita nasihatkan mana-mana orang awam yang hendak jalankan perniagaan mercun dan bunga api, perlulah terlebih dahulu memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sehubungan itu, pucuk pimpinan Polis Kelantan telah mengarahkan supaya pemantauan dan pemeriksaan dibuat secara berterusan.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang menjalankan kegiatan perniagaan mercun dan bunga api tanpa lesen. Bunga api dan mercun yang dibenarkan untuk dijual adalah jenis Pop-pop dan Happy Bom/ Magic Pop.

“Kita nasihatkan orang ramai mematuhi peraturan dan undang-undang untuk menjaga keselamatan dan mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku dengan permainan mercun,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *